Lelaki bebas tuduhan bunuh wanita dalam pangsapuri

Lelaki bebas tuduhan bunuh wanita dalam pangsapuri

Panel Mahkamah Rayuan lepas dan bebas Mohamad Farreyl Haikal Abdullah, ketepi hukuman penjara dan sebatan dijatuhkan mahkamah Shah Alam tahun lepas.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini lepas dan bebas seorang bekas penebar roti canai daripada tuduhan bunuh seorang wanita 6 tahun lepas.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan seorang lelaki daripada tuduhan membunuh seorang anggota polis bantuan wanita di sebuah pangsapuri di Damansara Damai, enam tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Azman Abdullah sebulat suara melepas dan membebaskan Mohamad Farreyl Haikal Abdullah, 28, selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Jun 2024 yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup (30 tahun) dan 12 sebatan terhadapnya.

Menurut panel, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana gagal mengambil kira laporan kimia yang membuktikan kehadiran seorang lelaki lain yang tidak dapat dikenal pasti identitinya di dalam rumah tersebut.

“Laporan itu menunjukkan wujud kesan DNA orang lain pada puntung rokok, seluar dalam dan bantal di dalam bilik mangsa yang memungkinkan kehadiran pihak lain di dalam bilik si mati,” kata Azman, lapor Bernama.

“Tiada keterangan dikemukakan untuk menyokong hujahan pihak pendakwaan yang bersandarkan prinsip orang terakhir dilihat di tempat kejadian (last seen principle) bagi mendakwa perayu.”

Azman bersidang bersama-sama Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Mohamad Farreyl Haikal, seorang bekas penebar roti canai, didakwa membunuh Nor Aisyah Abdullah, 25, di pangsapuri tersebut antara 2 pagi, 17 Okt 2019 hingga 12.45 tengah malam, 18 Okt 2019, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah berhujah, penemuan DNA perayu di dalam rumah terbabit menjadi bukti kukuh bahawa perayu ada bersama dengan wanita itu sebelum kematiannya.

“Perayu mengaku menghisap rokok dan DNA dirinya dijumpai pada puntung rokok yang diambil oleh pihak forensik,” katanya.

Beliau berkata, keterangan saksi pendakwaan ketiga (SP3), iaitu seorang pakar forensik patologi, turut menyatakan mangsa meninggal dunia kerana sesak nafas akibat tekupan, sepertimana laporan bedah siasat.

“Tekupan boleh terjadi daripada tangan atau apa-apa objek. SP3 menyatakan mangsa mengalami kecederaan antaranya patah tulang hidung, koyakan di bawah bibir dan lebam pada kedua-dua mata yang konsisten dengan perbuatan menekup dengan jari, bukan menggunakan bantal yang lembut.

“Oleh itu, hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mensabitkan perayu dengan kesalahan sepertimana pertuduhan,” katanya.

Sementara itu, peguam Fahri Azzat berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan kandungan dalam laporan kimia, serta keterangan lisan dan bertulis saksi pendakwaan ke-12.

Menurutnya, keterangan saksi tersebut, seorang ahli kimia, mengesahkan kewujudan dua profil DNA yang tidak diketahui, sekali gus menafikan bahawa perayu mempunyai akses eksklusif kepada unit pangsapuri tersebut.

Beliau berkata, hakim gagal mengambil kira bahawa terdapat kekurangan bukti DNA yang membuktikan perayu berada di dalam bilik si mati, sebaliknya DNA ‘Lelaki 1’ yang dijumpai termasuk pada bantal yang mungkin digunakan untuk menekup si mati.

“Hakim juga gagal membuat pertimbangan terhadap pengakuan pegawai penyiasat bahawa dia tidak pernah meneliti kandungan laporan kimia sepanjang siasatannya, sekali gus menunjukkan siasatan yang tidak mencukupi dan sambil lewa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.