Malaysia mungkin tak cukup baik terhadap Pak Lah, kata bekas penasihat

Malaysia mungkin tak cukup baik terhadap Pak Lah, kata bekas penasihat

Kalimullah Hassan berkata, perdana menteri kelima itu mampu memaafkan orang dengan sangat mudah.

kalimullah hassan n abdullah ahmad badawi
Kalimullah Hassan (berbaju hitam) berkata, Abdullah Ahmad Badawi percaya bahawa Tuhan mengurniakan kepada Malaysia struktur berbilang kaum dan agama untuk memacu negara ke tahap lebih tinggi. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang pemimpin yang sangat pemaaf, kata bekas penasihatnya dalam catatan media sosial didedikasikan untuk bekas perdana menteri itu.

Kalimullah Hassan berkata, Abdullah yang mesra dikenali sebagai Pak Lah mampu ‘memaafkan dengan begitu mudah’, menambah bahawa polemik bukan gayanya.

“Malaysia mungkin tidak cukup baik terhadap kamu. Namun seperti yang saya beritahu seseorang …. Kamu sudah pun memaafkan semua orang yang menyakitkan hati kamu (dan kamu harap mereka maafkan kamu juga),” catatnya di Instagram.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd itu juga berkata, Abdullah tidak pernah menghakimi sesiapa.

Sedar kelemahan dirinya, Abdullah tidak pernah mula mengkritik seseorang, kata Kalimullah.

“Malah, beliau tidak pernah mengkritik,” tambahnya.

Menurut Kalimullah, Abdullah percaya dengan teguh bahawa Tuhan mengurniakan kepada Malaysia struktur berbilang kaum dan agama dengan suatu tujuan, iaitu untuk memacu negara ke tahap lebih tinggi.

Secara berasingan, bekas menteri persekutuan dan Presiden Gerakan Koh Tsu Koon mengimbau apabila Abdullah dilantik sebagai menteri pendidikan, beliau memainkan peranan penting dalam mencari penyelesaian bagi isu berkaitan pendidikan Cina.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga berkata, semasa Abdullah dilantik sebagai perdana menteri pada 2003, beliau melulus dan melancarkan beberapa projek penting dalam menyokong pembangunan sosioekonomi negeri itu, termasuk Jambatan Pulau Pinang kedua, sistem bas Penang Transit dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

“Kebaikan dan kemuliaan hati Pak Lah akan kita semua kenang. Beliau menunjukkan contoh yang sangat baik sebagai seorang pemimpin yang sangat baik dan prihatin,” tambahnya.

Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun malam tadi, sehari selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana sesak nafas.

Jenazahnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.