Polis tahan 6 bantu siasatan kes polis ditembak, mayat dalam kereta

Polis tahan 6 bantu siasatan kes polis ditembak, mayat dalam kereta

Individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita, termasuk ahli keluarga suspek, kata ketua polis Perak.

Terdahulu dilaporkan seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak di bahagian perut oleh seorang lelaki di Simpang Pulai, Ipoh, sebelum mayat seorang wanita ditemukan di dalam kereta suspek. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan enam individu, termasuk ahli keluarga suspek, bagi membantu siasatan berhubung kejadian mayat seorang wanita ditemukan dalam kenderaan seorang lelaki yang menikam dan menembak anggota polis di Simpang Pulai, Perak.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, individu yang ditahan berhubung kejadian berlaku awal pagi tadi itu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita.

“Suspek termasuk ahli keluarga suspek utama. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti peranan mereka dalam kes ini.

“Kami juga masih menyiasat punca kejadian dan hubungan antara suspek dengan mangsa yang meninggal dunia,” katanya, lapor Buletin TV3.

Mayat wanita itu dilaporkan ditemui di tempat duduk belakang sebuah Toyota Avanza dengan kepalanya ditutupi beg plastik.

Noor Hisam berkata, mangsa berusia 62 tahun itu telah dikenal pasti dan hasil bedah siasat mendapati dia meninggal dunia akibat sesak nafas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenderaan digunakan suspek bukan dicuri, manakala lelaki yang mencederakan anggota polis itu masih bebas.

Terdahulu dilaporkan seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak di bahagian perut dengan senjatanya sendiri oleh seorang lelaki di kawasan Taman Desa Pakatan.

Kejadian berlaku kira-kira 1.15 pagi apabila sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Pulai mengesan seorang lelaki yang mencurigakan di dalam sebuah kereta semasa rondaan cegah jenayah.

Apabila diminta memberhentikan kenderaan, suspek sebaliknya memecut laju namun berhenti berhampiran sebuah ladang kelapa sawit.

Ketika cuba ditahan, berlaku pergelutan antara lelaki itu dan salah seorang anggota polis berpangkat koperal sebelum suspek merampas pistol perkhidmatan anggota itu dan melepaskan tembakan.

Anggota polis berusia 26 tahun itu turut ditikam sebelum suspek melarikan diri bersama senjata api.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.