Pemimpin PAS puji FMT beri liputan adil muktamar

Pemimpin PAS puji FMT beri liputan adil muktamar

Mohd Amar Nik Abdullah membuat perbandingan dengan Malaysiakini yang menurutnya selalu memberi gambaran negatif mengenai PAS.

Wartawan membuat liputan Muktamar PAS ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang di Kuantan.
KUANTAN:
Seorang pemimpin kanan PAS hari ini memuji liputan berita sepanjang muktamar parti itu di sini, sambil membuat perbandingan dengan sebuah lagi portal berita.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah turut mempersoalkan pemberitaan Malaysiakini yang menurutnya sering menggunakan tajuk yang memberi gambaran tidak baik terhadap pimpinan PAS.

“Sebab itu saya tekankan berhati-hati, kalau dulu dengan Utusan Malaysia, berhati-hati dengan Berita Harian, hari ini tambah satu lagi Malaysiakini.

“Kalau nak banding dengan Free Malaysia Today, saya rasa FMT baik sedikit berbanding Malaysiakini,” katanya pada ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-65 hari ini.

Amar berkata wujud beberapa media yang sering memberi “gambaran negatif kepada kita”.

“Saya sebut terang-teranglah sebab Malaysiakini selalu tajuk-tajuk beritanya negatif.

“Sebahagian daripada kita suka baca tajuk, isi tak baca. Bila dia baca tajuk, dia hentam pimpinan dan pertikaikan pimpinan dengan tidak merujuk kandungan yang sebenar.”

Amar berkata, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sendiri pernah bersuara mengenai tajuk berita negatif yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap pimpinan parti itu.

Katanya, sebab itu PAS perlu bijak berdepan media dan menasihatkan orang ramai membaca keseluruhan laporan media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.