Dasar kecuali bayaran balik pinjaman kekal kuat kuasa, jelas PTPTN

Dasar kecuali bayaran balik pinjaman kekal kuat kuasa, jelas PTPTN

Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim sangkal dakwaan seorang Adun bahawa dasar kecuali bayar balik pinjaman bagi graduan kelas pertama dimansuh.

ptptn
Fokus utama PTPTN adalah untuk pastikan pendidikan kekal sebagai medan pembangunan insan, bukan polemik politik, kata pengerusinya Norliza Abdul Rahim.
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menegaskan dasar pengecualian bayaran balik pinjaman bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama kekal berkuat kuasa, sekaligus menyangkal dakwaan ia dimansuhkan.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim menyatakan graduan yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan boleh mengemukakan permohonan pengecualian bayaran balik secara dalam talian melalui aplikasi Web myPTPTN .

Terdahulu Adun PAS Haim Hilman Abdullah mendakwa dasar pinjaman PTPTN yang ditukar kepada biasiswa dalam kalangan graduan kelas pertama telah dimansuhkan.

Ketika berucap di Muktamar Tahunan PAS ke-71, Adun Jitra itu mendakwa, tindakan itu menunjukkan kerajaan hari ini tidak peduli kepada rakyat dan perlu ditolak pada PRU akan datang.

Sehubungan itu, Norliza hari ini menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu pendidikan serta menghormati dasar sedia ada yang memberi manfaat secara langsung kepada graduan cemerlang.

“PTPTN sentiasa komited dalam memastikan proses permohonan insentif ini dilaksanakan secara telus, efisien dan adil demi menjaga kebajikan peminjam serta menyokong aspirasi pendidikan tinggi negara.

“Fokus utama kita adalah untuk memastikan pendidikan kekal sebagai medan pembangunan insan dan bukannya medan polemik politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.