
Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway dan Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, langkah menasionalisasikan sektor ini hanya akan menambah beban fiskal negara selain meletakkan tanggungjawab secara langsung atas kerajaan untuk mengeluarkan barangan asas.
Yeah berkata nasionalisasi sektor makanan utama hanya wajar dilakukan ketika kecemasan, seperti bagi mengelakkan kebuluran atau masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan golongan miskin.
“Ia kurang relevan bagi ekonomi yang pasaran berfungsinya baik dan persekitaran harga yang agak stabil. Melainkan wujud keuntungan berlebihan atau manipulasi pasaran, tidak mungkin kerajaan dapat menurunkan harga.

“Pengambilalihan oleh kerajaan besar kemungkinan akan menyebabkan gangguan dalam rantaian pengeluaran dan bekalan, terutama jika keputusan dipengaruhi oleh pertimbangan politik dan bukannya ekonomi,” katanya kepada FMT.
Yeah juga berkata kerajaan lazimnya tidak mempunyai kepakaran industri dan cenderung untuk tidak cekap. Memberi monopoli kepada kerajaan hanya boleh membuka ruang kepada kelemahan tadbir urus, katanya.
Barjoyai bersetuju, dengan berkata tidak ada keperluan untuk mengambil alih pengeluaran dan bekalan beras serta minyak masak kerana Putrajaya sudah pun menyalurkan subsidi kepada kedua-dua barangan itu.
“Kerajaan tidak perlu mengawal pengeluaran barangan makanan ini. Ia hanya perlu memastikan bekalan stabil dan harga terkawal,” katanya.
Pada muktamar PAS baru-baru ini, Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Jan mencadangkan kerajaan mengambil alih perniagaan membekalkan keperluan asas seperti beras dan minyak masak bagi memastikan ia kekal mampu milik.
Anggota jawatankuasa kerja ulama itu berkata pasaran barangan asas berkenaan didominasi syarikat besar swasta dan bahawa langkah menasionalisasikan sektor itu akan membolehkan Putrajaya mengurangkan kebergantungan kepada cukai korporat.
Barjoyai berkata dakwaan lankah itu akan meningkatkan hasil kerajaan hanyalah ‘andaian semata-mata’. Katanya, kerajaan boleh meningkatkan hasil melalui kenaikan kadar cukai.

“Kalau kerajaan mahu mengawal mana-mana perniagaan atau industri, ia sepatutnya melibatkan sektor dengan margin keuntungan yang lebih tinggi, seperti telekomunikasi,” katanya.
Yeah pula berkata pengeluaran beras dan minyak masak sepatutnya diserahkan kepada pemain sektor swasta. Katanya, faktor seperti persaingan akan menjamin bekalan mencukupi dan dapat mengekalkan harga.
“Yang sama penting, pendapatan isi rumah, terutama dalam kalangan B40, perlu ditingkatkan secukupnya supaya semua keluarga mempunyai kemampuan menghadapi kenaikan harga makanan tanpa membebankan sumber fiskal kerajaan.”