Jangan gopoh, Hadi tegur Pemuda PAS

Jangan gopoh, Hadi tegur Pemuda PAS

Presiden PAS ingatkan ahli Pemuda supaya tidak gelojoh mahu rebut kuasa di Putrajaya.

Presiden Pas Abdul Hadi Awang
Presiden PAS Hadi Awang berkata, hanya pimpinan pusat berhak tentu pelantikan menteri besar dan calon pilihan raya.
ALOR SETAR:
Presiden PAS Hadi Awang mengingatkan sayap Pemuda agar tidak gelojoh mahu merebut kuasa, menegaskan bahawa sikap terburu-buru dan perpecahan boleh menjejaskan perjuangan mereka.

Beliau berkata, sesetengah pihak dalam parti, terutamanya dalam kalangan belia, terlalu ‘gopoh’.

Peringatan Hadi itu dipercayai sebagai respons terhadap gesaan seorang perwakilan Pemuda yang mencadangkan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon perdana menteri. Tuan Ibrahim kemudiannya menepis cadangan itu sebagai gurauan.

“Ada yang sudah mengintai-intai jawatan, berangan-angan mahu jadi menteri atau perdana menteri. Tapi jangan cepat melompat, nanti tersungkur,” kata Hadi dalam ucapan penggulungannya yang memakan masa hampir dua jam pada Muktamar PAS.

Hadi berkata, kemenangan sejati hanya akan tercapai melalui kerja keras, perpaduan dan disiplin, bukan sekadar cita-cita.

“Orang muda jangan gopoh. Apabila kita hilang sabar, kita boleh hilang segalanya,” katanya menambah, kuasa ialah amanah, bukan habuan, dan mesti ‘diuruskan dengan cermat dan matang’.

“Jangan beri tekanan kepada wakil rakyat kita. Jangan jadi punca mereka jatuh,” pesannya.

Hadi turut mengingatkan ahli bahawa kesetiaan dan ketaatan kepada pimpinan parti ialah suatu tuntutan agama.

Meskipun tidak bersetuju dengan keputusan pemimpin, katanya, ahli parti mesti tetap setia selagi pemimpin itu dilantik melalui proses parti yang sah.

Hadi turut memberi amaran terhadap budaya berpuak, menegaskan hanya pimpinan pusat PAS yang berhak menentukan pelantikan menteri besar dan calon pilihan raya.

Katanya, ada ahli yang mahukan pemimpin mengikut selera atau kepentingan kelompok mereka, namun itu bukan cara PAS.

“Ketaatan wala’ ini diwas-waskan oleh syaitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.