Nak rampas ke nak perkasa?

Nak rampas ke nak perkasa?

PAS terus menunjukkan keyakinan untuk memimpin.

Mohsin Abdullah

Semalam yakni hari terakhir muktamar PAS ke-71, wakil Dewan Pemuda PAS Pusat Muhammad Faizudin Mohd Zai semasa membentang usul yang menurutnya paling penting berkata begini:

“Rakyat sedang menunggu untuk kita rampas pimpinan PN dan bangkit mengangkat perjuangan PN ini.”

Saya tidak tahu sama ada rakyat sedang tunggu seperti yang beliau kata, tetapi angkat kening dengan istilah yang digunakan. ‘Rampas’. Kasar dan gerun bunyinya. Namun Faizuddin kemudian memperbetulkan istilah ‘rampas PN’ dan digantikan dengan ‘memperkasakan PN’.

Tukar istilah setelah diminta Pengerusi Tetap Husin Ismail. Untuk berlaku adil dinyatakan usul yang Faizuddin bawa dibahas di bawah tajuk ‘pemerkasaan PN’.

Selain ‘rampas’ yang kemudian ditukar kepada ‘perkasa’, Faizuddin juga guna istilah ‘mengambil alih’, ‘memimpin’ dan ‘meremajakan’. Bagi saya nawaitu PAS jelas.

Semua istilah membawa erti sama. Oleh itu bukanlah memeranjatkan usul dilulus sebulat suara oleh muktamar supaya PAS memimpin Perikatan Nasional sebelum PRU16. Bagi saya maksudnya take control now.

Sebelum membentang usul itu Faizuddin memberitahu muktamar bahawa setelah bincang pelbagai isu untuk ‘selamatkan negara’, “jangan lupa ada satu perkara yang mesti kita selamatkan sebelum kita masuk ke PRU16”.

Ertinya PN mesti diselamatkan oleh PAS. Mengapa? “Hari ini orang lihat PN lemau, tepu, tiada hala tuju yang jelas dan hilang fokus”. Jelas siapa yang dipersalahkan PN jadi begitu. Rasanya umum tahu siapa yang dimaksudkan.

Pengarah Pilihan Raya Sanusi Md Nor pula menegur ‘kawan-kawan’ yang katanya bergantung kepada jentera dan kewangan PAS. ‘Mai bertanding syok sahaja’ dan dibantu oleh PAS, kata beliau. Tanpa menyebut nama, Sanusi kata ‘kawan-kawan’ mahu jadi ketua namun gagal sedar kekurangan partinya.

Cuma bukankah kita kerap diberitahu PN bergerak, bertindak dan buat keputusan secara konsensus? Bukankah pemimpin PAS duduk dalam kepimpinan gabungan? Adakah mereka berpeluk tubuh dan biarkan PN jadi seperti Faizuddin kata tepu dan sebagainya?

Faizuddin turut berkata PAS juga mahu ‘meremajakan’ PN dengan beri nafas baru sekali gus beri isyarat kepada rakyat parti itu sedia memimpin negara. Maksud beliau selain tepu, lemau dan lain-lain PN juga tua atau menua lalu mesti diremajakan?

Usul yang disokong akan dimuktamad pimpinan tertinggi parti. Adakah itu yang akan dilakukan mereka? Hampir pasti iya kerana tidak mungkin pimpinan tertinggi mahu nafi sokongan sebulat suara para perwakilan muktamar dan membelakangkan suara majoriti. Tetapi dalam politik semua boleh jadi.

Menurut penganalisis dan pemerhati politik, PAS adalah parti realistik atau praktikal. Kata mereka, jika PAS rasa calon PM daripada Bersatu boleh bawa kemenangan, ia akan pendam hasrat. Jika sebaliknya PAS akan ketengahkan calon sendiri.

Beralih kenyataan terbuka Presiden Hadi Awang pada Isnin lalu. Bagi saya, Hadi ‘kenen‘ pengerusi PN sekarang yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Kenen pertama apabila Hadi kata, “orang macan saya tak layak dah”. Beliau berusia 78 tahun dan sejak kebelakangan ini kesihatan agak terganggu. Muhyiddin jua keadaan begitu.

Kenen kedua dengan berkata, “Biarlah orang yang kuat. Paling sihat dulu yang bawah 70 tahun jadi perdana menteri”.

Walaupun boleh dilihat kata-kata itu ditujukan kepada Muhyiddin yang mahu dan sudah dapat sokongan padu partinya untuk jadi calon PM, Hadi tidak menamakan siapa yang layak untuk ganti Muhyiddin. Namun Faizuddin melihatnya sebagai isyarat bahawa jawatan itu perlu digalas oleh PAS.

“Ini merupakan isyarat besar dan penting untuk difahami oleh ahli (PAS) bahawa perdana menteri akan datang perlu lahir dan digalas oleh pemimpin parti ini.”

Mungkin beliau ambil ucapan dasar presiden di muktamar apabila Hadi berkata PAS bersedia memimpin Malaysia “yang bermasyarakat majmuk, berpegang kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan tanpa meminggirkan hak dan kepentingan kaum lain”.

Apabila beliau kata akan ‘pegang keluhuran Perlembagaan Persekutuan’, bagi saya ini amat menarik kerana Hadi kerap mendakwa perlembagaan negara adalah perlembagaan penjajah. Bagaimanapun kali ini beliau kata keluhuran Perlembagaan Persekutuan ‘dengan pentafsiran Islam yang sebenar’. Adakah akan dipinda untuk jadi ‘Islamik’? Wallahualam.

PAS tahu sokongan rakyat bukan Islam sangat diperlukan untuk ia memerintah lantas ramai perwakilan yang berucap menyentuh soal keadilan dan menjaga kepentingan masyarakat berkenaan — jelas untuk menghilangkan rasa takut mereka terhadap PAS.

Dalam pada itu di muktamar juga Dewan Himpunan Pendukung PAS atau DHPP mengingatkan PAS tidak menggunakan perkataan menyinggung perasaan orang bukan Islam khususnya istilah ‘kafir’ dan ‘pendatang’.

Kata Ketua DHPP Selangor K Depakaran masih ada segelintir anggota PAS yang guna istilah itu walaupun ia membawa kesan negatif terhadap usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat bukan Islam.

Mungkin elak guna istilah ‘pendatang’ boleh dilakukan PAS. Saya tidak pasti pengunaan istilah ‘kafir’ kerana ramai ustaz dalam PAS see nothing wrong with it apabila merujuk orang bukan Islam.

Hadi berikrar PAS akan mempertahankan hak bukan Islam jika diberi peluang memerintah. Menurut beliau, pemerintahan negara akan dibawa kepada Islam kerana “hanya Islam yang sempurna adil dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan harmoni dan selamat”.

Selain itu, beliau tidak memperinci cara negara akan ditadbir. Sesungguhnya tidak adil menuntut keperincian dalam ucapan dasar Hadi, mengambil kira kesuntukan waktu.

Mungkin cara PAS memerintah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis boleh dijadikan contoh atau pedoman? Apa pun caranya Bersatu dan Gerakan selaku anggota PN wajib akur.

Dalam pada itu, PAS terus menunjukkan keyakinan untuk memimpin. Wakil Pemuda Selangor Mohamed Sukri Omar mencadangkan PAS menamakan calon ketua menteri Sabah.

Untuk jadi ketua menteri bukankah PAS mesti menang PRN terlebih dahulu? Setahu saya kehadiran PAS di Sabah pernah disifatkan sebagai negligible. Tak tahulah kalau keadaan sudah berubah dengan drastik.

Apa pun menyingkap pendirian PAS dalam isu memerintah negara, menamakan calon perdana menteri serta ketua menteri Sabah dan sebagainya, adakah PAS sememangnya confident? Overconfident? Syok sendiri atau mungkin angkuh?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.