6 masih di hospital disyaki akibat pencemaran udara di Pasir Gudang

6 masih di hospital disyaki akibat pencemaran udara di Pasir Gudang

Exco Johor berkata, 6 murid dari Sekolah Agama Taman Mawar Pasir Gudang yang mengalami simptom muntah dan sesak nafas itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mohd Khuzzan Abu Bakar (tengah) bersama Exco Johor, Tosrin Jarvanth (kanan) melihat jumlah mangsa yang disyaki terdedah kepada pencemaran udara di Pasir Gudang, hari ini. Kiri ialah Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Ibrahim Omar. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Enam daripada 15 mangsa yang mengalami simptom muntah dan sesak nafas dipercayai akibat terdedah kepada pencemaran udara semalam, masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata 6 murid dari Sekolah Agama Taman Mawar Pasir Gudang yang berusia 9 hingga 10 tahun itu dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Sehingga 6 petang semalam, 6 dari 15 mangsa telah dimasukkan ke wad biasa bagi mendapatkan rawatan selanjutnya, manakala selebihnya dibenarkan pulang,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan operasi pemantauan di Stadium Tertutup Pasir Gudang hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan.

Khuzzan berkata, bilik gerakan itu dibuka bagi memantau kualiti udara di Pasir Gudang dengan operasi diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri serta Jabatan Alam Sekitar Johor.

Katanya, berdasarkan pemantauan awal kualiti udara setakat ini, bacaan adalah baik dengan parameter karbon monoksida (CO), hidrogen sulfida (H2S) dan sebatian organik meruap (VOS) di paras sifar, manakala bacaan paras oksigen pula ialah 21.2% (normal).

“Pemantauan kualiti udara akan terus dibuat secara berkala (setiap 4 jam) dan sebarang perubahan kualiti udara akan dimaklumkan segera bagi tindakan selanjutnya.”

Katanya, menerusi siasatan awal JAS, tiada punca spesifik yang menyebabkan mangsa mengalami simptom muntah serta sesak nafas, dan tiada pembuangan atau pelupusan haram pembuangan terjadual dikesan.

Tetapi, JAS akan meneruskan siasatan berhubung punca kejadian dan memaklumkan perkembangan itu dari semasa ke semasa.

Khuzzan berkata, buat masa ini, semua aktiviti sukan dibenarkan dan tiada keperluan memakai topeng muka kerana bacaan kualiti udara di kawasan terbabit adalah normal.

“Seperti yang saya katakan semalam, kalau mereka (penduduk) di kawasan sekitar ini ada mengalami simptom sesak nafas dan muntah-muntah, sila pergi klinik kesihatan berdekatan.”

Petang semalam, 13 murid 7 hingga 12 tahun dan 2 kakitangan Sekolah Agama Taman Mawar serta Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan, selepas mengalami simptom muntah dan sesak nafas akibat terdedah kepada udara yang disyaki tercemar.

Pada 7 Mac lalu, hampir 6,000 penduduk di kawasan sama terjejas akibat pencemaran udara dari pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang kemudiannya menyebabkan 111 sekolah ditutup sementara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, 15 pelajar itu antara 29 mangsa dari 2 sekolah di Pasir Gudang yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail sehingga 10 pagi tadi.

Katanya, mereka ialah 14 pelajar dan 2 kakitangan dari Sekolah Agama Taman Mawar dan 13 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.

“Seramai 14 mangsa telah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 mangsa diberi rawatan di HSI, dengan 6 daripadanya dimasukkan ke wad.

“Tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dicatat,” katanya yang menasihatkan orang ramai segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala sesak nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kejang otot dan lemah badan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.