
Suami mangsa, Masran Mohd Amin, 43, mendakwa isterinya, Nazuah Pili, 36, dan anak sulung mereka Mohd Amran, muntah dan cirit-birit teruk beberapa jam selepas pulang dari kenduri itu pada 11 pagi.
Masran berkata, setelah pulang dari tempat kerja, beliau mendapati isteri dan anaknya terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah mereka kira-kira 3 petang.
“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, namun melihat isteri kerap berulang-alik ke tandas, dengar dia muntah-muntah dan kemudian baring semula dalam keadaan lemah.
“Saya cuba bangunkan isteri kerana melihat ada kesan najis pada kain sarung yang dipakainya, sebelum dia masuk semula ke tandas untuk membersihkan diri,” katanya, lapor Berita Harian.
Pada masa sama, Mohd Amran hanya terbaring tidak bergerak, tambahnya.
Masran berkata, beliau turut muntah dan sakit perut selepas menjamah lauk kenduri yang dibawa pulang isterinya, manakala dua lagi anak mereka, Naziah Insyirah, 6, dan Mohd Azran, 18 bulan, sempat dibawa ke klinik berhampiran oleh ahli keluarga lain.
Jenazah Nazuah dan Mohd Amran dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Batu 4, kira-kira 10 malam tadi selepas bedah siasat selesai.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Tawau Champin Piuh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan perkembangan lanjut berhubung kes itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.