
Ketua Penolong Pengarah Pencegahan Judi/Maksiat/Gangsterism Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Rohaimi Md Isa berkata kegiatan kongsi gelap dalam kalangan pelajar sekolah sering melibatkan mereka yang kerap ponteng dan terlibat dalam gejala buli.
“Mereka kemudiannya akan melakukan jenayah kekerasan seperti ugutan, pemerasan serta pergaduhan dan ada yang meminta wang daripada rakan sebaya.
“Kebanyakan pelajar terlibat kongsi gelap mempunyai tahap pendidikan rendah, kurang didikan agama serta mempunyai masalah keluarga,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, kebiasaannya pelajar sekolah menyertai kumpulan kongsi gelap untuk meningkatkan jumlah anggota di kawasan terbabit.
“Golongan ini (pelajar) hanya menjadi ahli biasa dan mereka tidak akan diberikan tugasan tertentu.”
Bagaimanapun, Rohaimi berkata, penglibatan pelajar sekolah dalam kongsi gelap masih terkawal dan di tahap minimum.
Katanya, berdasarkan statistik, 46 pelajar sekolah dipercayai anggota kongsi gelap ditahan tahun lalu kerana terlibat dalam jenayah kekerasan.
“Aktiviti gangsterisme masih terkawal dan ia tidak membimbangkan.”
Katanya, antara kongsi gelap yang disertai pelajar sekolah termasuk Geng 08, Geng 550, Geng 36 dan Ang Soon Thong.