Kes rogol di sekolah: 2 didakwa, seorang mengaku salah

Kes rogol di sekolah: 2 didakwa, seorang mengaku salah

Dua daripada empat pelajar disyaki terlibat dalam kes rogol pelajar didakwa di Mahkamah Kanak-kanak.

gavel
Dua tertuduh berdepan pertuduhan melibatkan kesalahan merogol secara berkumpulan, melakukan persetubuhan bertentangan tabii, dan amang seksual fizikal, di Mahkamah Kanak-kanak. (Gambar fail)
ALOR GAJAH:
Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol pelajar perempuan Tingkatan 3 di sebuah sekolah dua minggu lepas, didakwa di Mahkamah Kanak-kanak.

Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berdepan tiga pertuduhan melibatkan kesalahan merogol secara berkumpulan, melakukan persetubuhan bertentangan tabii, dan amang seksual fizikal.

Hanya seorang daripada tertuduh membuat pengakuan bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan, manakala seorang lagi tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama didakwa di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana secara berkumpulan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara untuk pertuduhan ketiga, tertuduh masing-masing didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, yang memperuntukkan hukuman sama.

Semua kesalahan itu dilakukan di dalam kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah pada 30 Sept lepas, kira-kira 2.50 petang.

Proses pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Ahmad Sazali Omar mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh memandangkan kes berkenaan adalah serius.

Tertuduh pertama yang tidak mengaku salah, dan diwakili Chua Yong Yi selaku peguam, memohon jaminan rendah atas faktor anak guamnya mengalami masalah kesihatan disebabkan baru selesai menjalani pembedahan sinus selain menghidap penyakit hernia.

Tertuduh kedua yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan turut memohon jaminan rendah serta bersedia menerima sebarang syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Majistret Teoh Shu Yee membenarkan mereka diikat jamin RM4,000 bagi pertuduhan pertama, dan masing-masing RM1,500 bagi pertuduhan kedua dan ketiga, menjadikan jumlah jaminan RM7,000.

Mahkamah menetapkan 26 Nov sebagai tarikh sebutan serahan dokumen bagi tertuduh pertama, dan laporan akhlak bagi tertuduh kedua sebelum menjatuhkan hukuman.

Pada 11 Okt lepas, empat pelajar lelaki direman enam hari selepas disyaki merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.