5 ditahan berkait kes tembak di Brickfields

5 ditahan berkait kes tembak di Brickfields

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad bagaimanapun berkata mereka telah dibebaskan dengan jaminan selepas diambil keterangan.

handcuff
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata lima individu terbabit ditahan pada 16 Jun lalu di sekitar ibu negara.
PETALING JAYA:
Polis menahan lima individu bagi membantu siasatan kes tembakan yang menyebabkan seorang mati dan mencederakan dua lagi mangsa di Brickfields, 13 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad, bagaimanapun berkata mereka telah dibebaskan dengan jaminan selepas diambil keterangan.

“Tangkapan dibuat ke atas lima individu pada 16 Jun lalu di sekitar ibu negara.

“Selepas keterangan diambil, mereka dibebaskan dengan jaminan.

“Bagi kes di Cheras, belum ada tangkapan dilakukan dan kita giat usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek,” katanya, lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan mendapati dua kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada pertembungan antara kumpulan yang aktif dalam kegiatan kongsi gelap.

Katanya, berdasarkan semakan ke atas kedua-dua mangsa, siasatan menjurus kepada konflik antara kumpulan yang mempunyai latar belakang berkaitan aktiviti terbabit.

“Kita sedang meneruskan siasatan terhadap semua individu yang dikenal pasti bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, polis memanggil 18 saksi berhubung kes di Brickfields manakala 20 individu dirakam percakapan dalam kes di Cheras.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas ditembak dari jarak dekat oleh salah seorang daripada dua lelaki menaiki motosikal di hadapan sebuah restoran di Brickfields.

Pada 17 Jun lalu pula, dua lelaki mati terkena beberapa das tembakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.