
Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata nahas pada 2.35 petang itu membabitkan sebuah kereta Suzuki Swift dipandu seorang wanita tempatan 44 tahun dari arah Sedili menuju Tanjung Balau dan motosikal Honda EX5 ditunggang serta dibonceng dua remaja 14 tahun dari arah bertentangan.
“Setibanya di tempat kejadian, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta tersebut.
“Dalam kemalangan itu, penunggang dan pembonceng yang merupakan pelajar sekolah menengah parah di kepala serta badan dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, mayat dua remaja itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, manakala pemandu kereta terbabit tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, selain boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.