
Koroner, Mahyon Talib ketika membaca penghakiman bertulisnya, berkata tiada individu terbabit dalam kematian Smit.
“Itu sebabnya mahkamah mengklasifikasikan kes ini sebagai nahas.”
Mahyon berpendapat Smit mati antara 6.50 pagi dan 2 petang pada 7 Disember 2017, dan kecederaannya sama dengan kejatuhan dari satu ketinggian.
“Saya bersetuju dengan Dr Frank yang kematian berlaku sebelum mayat ditemui di balkoni unit tingkat 6,” katanya merujuk Dr Frank van de Goot dari Belanda.
Beliau berkata, mayat mula mengalami kekejuran sekitar 10 atau 11 pagi hari itu.
Katanya, tanda cengkaman pada lengan dan trauma di belakang kepala Smit, serpihan botol kaca pecah di unit tingkat 20 dan DNA Alex Johnson yang ditemui di bawah kuku Smit, mencadangkan kemungkinan berlaku pergelutan atau perkelahian di antara Alex, Luna dan Smit sebelum kematiannya.
“Kita tidak dapat mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku di antara mereka bertiga – Alex, Luna dan Ivana – jadi, mahkamah memutuskan kematian itu sebagai nahas.”
Keputusan dibuat berdasarkan fakta itu dan mengikut peruntukan di bawah Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593). Tiada unsur jenayah ditemui dalam cara kematian Smit.
Peguam, SN Nair yang mewakili keluarga Smit berkata, beliau lebih suka ia diklasifikasikan sebagai pembunuhan, tetapi nahas lebih baik daripada bunuh diri atau keputusan terbuka.
Beliau memberitahu FMT yang keputusan hari ini ialah “next best” kerana koroner bersetuju Smit mati dalam pangsapuri itu dan botol epal cider yang dibeli mereka bertiga pada malam sebelum kejadian mungkin dicampur dadah.
Bagaimanapun, katanya, Mahyon tidak dapat menyatakan siapa yang melakukan atau bagaimana mayat Smit boleh muncul di unit tingkat 6.
Katanya, beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada mahu melakukan semakan terhadap penghakiman itu.
Turut hadir di mahkamah hari ini ialah Karin Mossenlechner, Duta Belanda ke Malaysia dan Gerard van Heerwaarde, pegawai perhubungan polis Belanda bagi Malaysia dan rantau ini.
Smit, 18, ditemui dalam keadaan bogel di balkoni tingkat 6 Kondominium CapSquare di Jalan Dang Wangi.
Beliau dipercayai jatuh dari sebuah unit di tingkat 20, di mana beliau tinggal bersama Johnson dan isterinya, Luna Almaz.
Pasangan itu mendakwa mengadakan hubungan seks dengan Smit sebelum kematiannya, tetapi menafikan mereka bersalah, sebaliknya menuduh model itu mati akibat “kecuaian muda”.
Mereka tidak menghadiri inkues itu kerana dipercayai sudah meninggalkan Malaysia.
Polis pada awalnya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. Bagaimanapun, inkues diadakan selepas keluarga Smit mendakwa wujud unsur perbuatan khianat dan menyembunyikan fakta.