
Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata seorang warga Bangladesh antara dua lelaki berusia 45 dan 46 tahun yang ditahan di Bukit Mertajam secara berasingan semalam.
Difahamkan, dua suspek itu mengenali mangsa berusia 51 tahun dan telefon pintar mereka dirampas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh daripada semua aspek bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan kejam dua beranak itu.
“Motif pembunuhan kes itu belum jelas, namun semua bahan bukti yang diperoleh akan digunakan bagi membantu siasatan,” katanya menurut Berita Harian.
Sebelum ini, media melaporkan mayat Allahyarham Sariya Che Hin, 51, ditemui di dapur tingkat bawah rumah sewanya dalam keadaan menyayat hati, manakala mayat Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Laporan bedah siasat mendapati punca kematian dua beranak itu disebabkan tetakan di belakang leher menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.
Polis dilaporkan menemui sebilah pisau dalam kawasan semak dekat lokasi pembunuhan.
Suami mangsa berusia 57 tahun kemudian direman tujuh hari hingga 25 Okt ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.