Polis serbu pejabat peguam dalam siasatan 1MDB

Polis serbu pejabat peguam dalam siasatan 1MDB

Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial masih berada di pejabat peguam Goldman Sachs selepas 7 jam.

Pejabat firma guaman yang diserbu JSJK hari ini dipercayai mewakili Goldman Sachs dalam penerbitan bon AS$6.5 bilion. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Polis hari ini menyerbu pejabat firma guaman, Rahmat Lim & Rakan-rakan berhubung siasatan 1MDB.

Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dilihat memasuki pejabat itu pada 10 pagi tadi.

Mereka masih berada di pejabat itu setakat 5 petang tadi.

Pemangku Pengarah JSJK, Saiful Azly berkata: “Memang ada pasukan pergi untuk serbuan dan masih berada di situ.”

Dilaporkan firma guaman itu mewakili bank pelaburan Goldman Sachs dalam menerbitkan bon bernilai AS$6.5 bilion antara 2012 dan 2013.

Bank itu didakwa mempunyai maklumat tersembunyi di mana 1MDB menaja jamin semua jumlah berkaitan kos, perbelanjaan dan kerugian yang dialami International Petroleum Investment Company (Ipic) dalam satu perjanjian bertarikh 21 Mei 2012.

ia didakwa tidak memasukkan fakta material berkenaan ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikatakan menjadi operator dan pengantara untuk 1MDB.

Bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng dikenakan 4 pertuduhan membantu bekas syarikatnya berhubung penerbitan bon berkenaan.

NG juga berdepan 3 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang di mahkamah di New York.

Kerajaan memfailkan permohonan untuk mengekstradisi Ng tetapi dia mencabar permintaan itu.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan ekstradisi itu. Ng sekarang ini ditahan di Sungai Buloh.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa dia salah seorang daripada 3 bekas pengurus bank Goldman yang ikut serta atau tahu mengenai “multi layer criminal enterprise”.

Ng adalah timbalan kepada pengerusi Goldman di Asia Tenggara, Tim Leissner, yang mengaku bersalah atas peranannya dalam skandal itu.

Leissner memberitahu mahkamah AS bahawa dia ikut serta dalam pengubahan wang, rasuah dan menerima suapan dari 2009 hingga 2014 dalam usaha memperoleh dan melaksanakan transaksi “strategik” 1MDB untuk diri sendiri dan Goldman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.