Sombong, bodoh tak manfaat kekuatan kerajaan, kata Rashid

Sombong, bodoh tak manfaat kekuatan kerajaan, kata Rashid

Naib Presiden Ab Rashid Ab Rahman berterus terang ditengah-tengah retorik pemimpin PPBM lain.

Ab Rashid Ab Rahman ketika berucap kepada 1,200 perwakilan PPBM hari ini.
PUTRAJAYA:
Sombong dan bodoh kalau tidak menggunakan kekuatan kerajaan untuk pertahankan kemenangan, kata Naib Presiden PPBM, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman di tengah-tengah retorik pimpinan parti lain di mesyuarat agung tahunan hari ini.

Berucap kepada 1,200 perwakilan yang bersidang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya petang tadi, Ab Rashid terus-terang mengatakan parti-parti pemerintah harus memastikan ketua-ketua bahagian masing-masing mampu mempertahankan kawasan mereka daripada seteru politik.

“Tidak usah cakap sombong, bahawa jangan rampas kerja orang, ambil itu dan ini. Bagi saya pandangan itu pandangan bodoh. Dalam pilihan raya, dengan apa cara sekalipun, kita mesti menang,” katanya disambut tepukan gemuruh dan sorakan para perwakilan yang berdiri.

Rashid berkata pimpinan parti wajar memberi “senjata”, iaitu bantuan dan sokongan, kepada ketua-ketua bahagian dan cawangan agar wakil-wakil parti itu boleh berkhidmat dengan lebih berkesan di kawasan masing-masing.

“Sebab apa ketua bahagian ditinggalkan begitu sahaja? Saya ketua bahagian, dan saya diberikan kerja oleh perdana menteri, diberikan gaji yang besar maka saya mampu pertahankan bahagian saya,” katanya.

Rashid mengingatkan dia bukan seorang ahli politik dan tidak menyukai “cara ini”, tetapi parti politik mesti buat apa yang sepatutnya dalam berpolitik, termasuk menubuhkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

“Bagi negeri yang kalah jangan putus asa, kena lawan balik. Kita mesti pertahankan kerusi, segala projek yang dikawal kerajaan persekutuan mesti disalurkan kepada JPP dan ketua bahagian mesti dapat faedah.

“Kembalikan sistem lantik ketua kampung dan sebagainya supaya kita dapat menyusup pengaruh,” katanya.

JPP adalah agensi yang menyelaras, memantau dan mengawal rapi pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di peringkat negeri. Bertanggungjawab secara langsung kepada unit penyelarasan pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, ia mengundang kontroversi kerana didakwa mewujudkan ‘kerajaan dalam kerajaan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.