SPRM dapati beberapa syarikat kerap peroleh projek dengan nilai tinggi, kata sumber

SPRM dapati beberapa syarikat kerap peroleh projek dengan nilai tinggi, kata sumber

Bermula 2023 sehingga 2025, perolehan tentera darat melebihi RM500,000 adalah 158 projek, manakala bagi perolehan bawah RM500,000 jumlah keseluruhan projek adalah 4,521, menurut siasatan awal.

mindef
SPRM berada di Kementerian Pertahanan bagi menyiasat beberapa projek melibatkan tentera darat sejak 2023 hingga kini, kelmarin.
PETALING JAYA:
Semakan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perolehan projek tentera darat mendapati beberapa buah syarikat kerap memperoleh projek dengan nilai tinggi, menurut sumber.

Sumber memaklumkan perkara demikian selepas SPRM memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung prolehan projek tentera darat, semalam, dan membuat semakan akaun disyaki terbabit rasuah perolehan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, bermula 2023 sehingga 2025, perolehan tentera darat melebihi RM500,000 adalah sebanyak 158 projek, manakala bagi perolehan bawah RM500,000 pula jumlah keseluruhan projek adalah 4,521.

“Semakan awal terhadap semua projek tersebut mendapati terdapat beberapa buah syarikat yang kerap memperoleh projek dengan nilai yang tinggi dan ia agak meragukan.

“Begitu pun semakan terperinci masih belum dilakukan mengenai profiling syarikat-syarikat yang menerima kontrak ini,” katanya.

SPRM melancarkan siasatan awal ke atas dakwaan aliran wang ke akaun bank seorang pegawai kanan tentera, pada Selasa. Siasatan dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Badan anti-rasuah itu berada di Kementerian Pertahanan (Kementah) bagi menyiasat beberapa projek melibatkan tentera darat sejak 2023 hingga kini, kelmarin.

Menurut sumber, siasatan akan memberi tumpuan kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat. Transaksi kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu juga akan diteliti, katanya.

Dalam pada itu, hari ini, sumber memaklumkan bahawa SPRM turut merakam keterangan aktivis yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan kes tersebut, semalam.

Kementah menegaskan komitmen pada pematuhan undang-undang dan prinsip keadilan, susulan dakwaan kes pengubahan wang yang dilaporkan kepada pihak berkuasa, melibatkan seorang pegawai atasan tentera.

Menteri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut atau mengambil tindakan seterusnya, selaras peruntukan undang-undang.

Orang ramai juga dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan atau penghakiman sendiri sehingga siasatan selesai dan dapatan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.