95% hasil minyak Sarawak disalur ke Petronas, kata bekas AG negeri

95% hasil minyak Sarawak disalur ke Petronas, kata bekas AG negeri

JC Fong berkata kerajaan Sarawak hanya menerima RM49 bilion sejak 50 tahun lalu.

Petronas
JC Fong, penasihat undang-undang kerajaan Sarawak, berkata apa yang rakyat Sarawak mahukan ialah Petronas menghormati undang-undang negeri Borneo itu.
PETALING JAYA:
Kira-kira 95% hasil yang dijana daripada sumber minyak dan gas Sarawak telah disalurkan kepada Petronas, manakala negeri Borneo itu hanya menerima RM49 bilion sepanjang hampir 50 tahun, menurut bekas peguam besar Sarawak.

Penasihat undang-undang kerajaan negeri, JC Fong, berkata jumlah RM49 bilion yang disalurkan kepada Sarawak mungkin kelihatan besar, namun ia hanyalah sebahagian kecil daripada nilai sumber minyak dan gasnya.

“Dari tahun 1975 hingga 2024, Sarawak menerima kira-kira RM49 bilion dalam bentuk bayaran tunai daripada Petronas.

“Baki 95% daripada sumber minyak dan gas yang terdapat di Sarawak pergi kepada Petronas,” katanya yang dipetik Dayak Daily.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata Sarawak telah menerima lebih RM96 bilion manfaat kewangan daripada sektor minyak dan gas setakat 2024.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata jumlah itu merangkumi RM49 bilion dalam bentuk bayaran tunai dan RM28.6 bilion dalam bentuk dividen daripada pegangan saham kerajaan Sarawak dalam Malaysia LNG Sdn Bhd.

Beliau berkata, negeri Borneo itu juga menerima RM18.66 bilion cukai jualan daripada sektor berkenaan setakat suku ketiga 2024.

Fong berkata jumlah berbilion ringgit itu masih jauh daripada nilai sebenar sumber minyak dan gas Sarawak, sambil menambah bahawa dana tersebut telah digunakan bagi projek-projek infrastruktur utama di negeri itu.

Tambahnya, dengan mengambil semula kawalan pengedaran gas melalui Petroleum Sarawak Bhd, ia akan memperkasakan lagi kerajaan negeri untuk menyalurkan hasil kepada program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Apa yang rakyat Sarawak mahu ialah penghormatan sewajarnya daripada Petronas terhadap undang-undang Sarawak, penggunaan mampan sumber gas negeri dan peruntukan gas yang mencukupi bagi menyokong pelan hala tuju gas negeri.

“Jika berjaya dilaksanakan, pelan hala tuju itu boleh menyumbang RM130 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” kata Fong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.