SPRM buka siasatan perjanjian RM1.1 bilion kerajaan dengan syarikat asing

SPRM buka siasatan perjanjian RM1.1 bilion kerajaan dengan syarikat asing

Siasatan dibuat susulan aduan NGO dakwa perjanjian dibuat tergesa-gesa dan berat sebelah, mungkin libat ketirisan dana kerajaan.

sprm macc
SPRM dijangka panggil beberapa saksi termasuk ketua setiausaha kementerian terlibat untuk dapatkan penjelasan lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka satu kertas siasatan berhubung perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Siasatan itu dibuat susulan beberapa aduan yang dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah, sehingga dijangka memberi implikasi kepada kerajaan.

Menurut sumber, berdasarkan aduan serta dokumen yang diserahkan oleh beberapa pihak, SPRM telah mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perjanjian itu daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Feb lalu.

Katanya, kes itu turut melibatkan isu ketirisan dana kerajaan membabitkan peruntukan besar berjumlah RM1.1 bilion.

“Berdasarkan maklumat awal, cadangan perjanjian itu dikatakan tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), namun ia tetap dimeterai secara tergesa-gesa,” katanya.

Sumber berkata, perkara itu akan disahkan menerusi keterangan saksi-saksi utama yang terlibat dalam proses rundingan dan kelulusan perjanjian itu.

Pada masa sama, beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan kanan dalam syarikat terbabit selepas meninggalkan kementerian, sekali gus menimbulkan persoalan konflik kepentingan yang wajar diberi perhatian.

SPRM dijangka memanggil beberapa saksi termasuk ketua setiausaha kementerian terlibat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan perjanjian itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan pembukaan kertas siasatan itu, namun enggan mengulas lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.