
Antara perubahan terpaksa dilakukan perniagaan adalah mengoptimumkan tenaga kerja, menyebabkan sebilangannya perlu mencari rezeki di tempat lain.
Sebagai contoh, syarikat induk Google, Alphabet mengurangkan 12,000 tenaga kerja sejak 2023 manakala Apple pula mengurangkan kira-kira 100 dalam jawatan kumpulan perkhidmatan dalam talian tahun lalu.
Namun, kehilangan pekerjaan bukanlah pengakhiran.

Bagi bekas pengurus sumber manusia, Chris Chan dan bekas pakar telekomunikasi, Muhammad Azhari Ishak, peristiwa hitam dalam hidup mereka itu membuka pintu kepada peluang lebih besar dan lebih baik.
Chan pernah berkhidmat sebagai ketua pembangunan organisasi global di sebuah syarikat multinasional sebelum ditamatkan perkhidmatan pada 2016.
Beliau kemudian menyertai organisasi baharu sebagai rakan perniagaan sumber manusia (HR), dan memandangkan kemahiran dimilikinya masih relevan dengan peranan itu, peralihan tersebut berjalan lancar.
Dalam jawatan terdahulu, beliau memberi fokus kepada prestasi dan budaya organisasi termasuk strategi HR, transformasi dan pengurusan perubahan.
Namun, tugas di syarikat baharu pula memerlukan Chan menumpukan perhatian kepada sokongan barisan hadapan seperti pengambilan pekerja dan pengurusan prestasi.
Azhari pula membuat keputusan meninggalkan bidang telekomunikasi, di mana beliau sering berurusan dengan vendor, peruncit dan agensi. Kini, Azhari menyertai sektor minyak dan gas (O&G) sebagai pengurus pemasaran.
“Saya tertarik dengan kemampuan syarikat O&G itu mengubah sesuatu yang membosankan menjadi sesuatu yang mengujakan dan penuh personaliti,” katanya kepada FMT.
Sama seperti Chan dan Azhari, bekas eksekutif korporat, Hanson Lau juga berjaya mengharungi perubahan besar itu.
Tamparan hebat dan masa depan yang tak pasti
A Usha Devi yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam pengurusan sumber manusia berkata kehilangan pekerjaan memang sukar diterima.

“Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berada pada kedudukan kanan dalam syarikat tempat bekerja.
“Pemberhentian kerja juga bermaksud kehilangan jawatan, kuasa atau status, dan itu sesuatu yang sukar diterima. Ia mengambil masa untuk melepaskan semua itu,” katanya.
Katanya, individu dalam kedudukan kanan di sesebuah organisasi sudah mempunyai pasukan yang kuat untuk menyokong mereka.
“Bila diberhentikan, mereka terpaksa bermula semula dari awal dan melakukan semuanya sendiri.”
Azhari berkata, dia diberhentikan secara tiba-tiba. “Saya terkejut. Itu kali pertama saya diberhentikan kerja,” katanya.
“Mujur ketika itu saya belum berkahwin, tetapi saya perlu menjaga ibu. Saya dan kakak berkongsi perbelanjaan rumah serta kos penjagaan ibu,” katanya.
Nasib Azhari juga baik kerana menerima pakej pampasan ‘agak lumayan’ yang membantunya mengharungi beberapa bulan tanpa sumber pendapatan tetap.
Jangan takut lakukan perubahan
Selepas diberhentikan kerja, Azhari membawa diri dan mula membuat kajian serta pembacaan.
“Saya banyak membaca tentang pemasaran, penjenamaan, trend dan kecerdasan buatan (AI). Objektif saya ialah mendapatkan pandangan baharu tentang bagaimana syarikat lain beroperasi, dan kemahiran apa yang mereka perlukan,” katanya.
Perkara itu mendorongnya menerima kontrak enam bulan sebagai pengarah akaun di sebuah agensi pengiklanan.
Selain itu, beliau juga mempersiapkan diri sebagai persediaan menampilkan imej yang baik jika dipanggil untuk temu duga kerja.
“Saya merangka pelan yang boleh menyumbang kepada keuntungan syarikat. Kita perlu tangkas dalam melabur untuk penambahbaikan diri. Kita mesti menjadi individu yang dicari bakal majikan,” katanya.

Azhari juga belajar menyesuaikan imej dirinya — daripada ‘ceria dan periang’ kepada ‘tegas dan profesional’ — bergantung kepada jenis perniagaan diceburi syarikat.
Lau pula mengambil langkah berani dengan membuat perubahan besar daripada orang korporat kepada pemilik perniagaan.
“Pada 2018, nama saya tersenarai dalam pemberhentian kerja di sebuah firma kejuruteraan multinasional,” katanya kepada FMT. Syarikat itu kehilangan kontrak bagi satu projek besar kerajaan.
“Ia benar-benar satu kejutan,” katanya ketika mengimbau kejadian itu.
Selepas diberhentikan, Lau berada di persimpangan dilema, sama ada memilih kembali makan gaji di dunia korporat atau melangkah keluar untuk menubuhkan sebuah firma perunding.
Beliau akhirnya memilih laluan sukar dengan menubuhkan firma perunding bagi membantu syarikat lain dan pekerjanya berkembang.
Pada awalnya, Lau berkata hari-hari dilaluinya sangat sukar.
Daripada bergaji lima angka, kini pendapatannya jatuh kepada hanya beberapa ratus ringgit sahaja sebulan.

Bagi mendapatkan wang itu, Lau perlu belajar bagaimana untuk menjual, memuktamadkan perjanjian, melayan pelanggan dan pada masa sama mengambil bayaran.
“(Lebih teruk lagi), saya tidak diendahkan dan kadangkala dibuli kerana syarikat saya kecil,” katanya.
Atas dorongan matlamat untuk membina dunia di mana syarikat berkembang bersama pekerjanya dan bukan atas pengorbanan mereka (falsafah sama ditawarkan kepada pelanggannya), Lau akhirnya berjaya menjadi seorang usahawan.
Bantu diri sendiri
Memiliki kemahiran yang relevan untuk pekerjaan baharu adalah kelebihan besar ketika mencari kerja, tetapi kisah Azhari dan Lau membuktikan kerja keras, ketabahan dan kesediaan menerima perubahan amat membantu seseorang bangkit semula.
Selain itu, terdapat banyak platform boleh membantu mereka yang mencari pekerjaan. Ia bukan setakat untuk menghadapi cabaran meyakinkan bakal majikan memberi peluang, tetapi juga sebagai platform memperoleh kemahiran sesuai dengan pekerjaan baharu.
Usha Devi menasihatkan mereka berhubung dengan pakar industri dan pengurus sumber manusia di pelbagai platform seperti LinkedIn untuk mendapatkan pandangan dan panduan mengenai jenis kemahiran baharu yang diperlukan bagi sesuatu jawatan.
“Perlu ada sasaran dan lebih strategik dalam memilih kursus serta kemahiran yang diperlukan. Fokus pada jenis kemahiran diperlukan industri berbanding apa yang anda minat, sekiranya keutamaan adalah untuk mendapat pekerjaan,” katanya.
Chan turut mencadangkan pemahiran semula atau meningkatkan kemahiran. Mempunyai kemahiran baharu amat penting terutama jika seseorang mahu menceburi industri yang semakin banyak diambil alih oleh AI.
“Ambil peluang untuk beralih kepada kemahiran baharu, seperti digital atau, bagi mereka yang berpengalaman luas, cuba jadi jurulatih (kepada generasi pemimpin baharu),” katanya.
Usha Devi juga berkata, seseorang yang bersikap lebih terbuka dan mempunyai pemikiran berkembang mampu melangkah lebih jauh.
“Anggap setiap pengalaman sebagai satu proses pembelajaran,” katanya.