
Pensyarah adjung Universiti Teknologi Petronas (UTP) Samirul Ariff Othman turut berpandangan kegagalan institusi berpanjangan boleh melemahkan industri negara sehingga membuka ruang campur tangan pihak luar.
Menurut perunding kanan Global Asia Consulting itu, perbahasan global mengenai tenaga sering mengulang tanggapan silap bahawa kekayaan sumber semula jadi secara automatik akan menjadikan sesebuah negara makmur.

“Sejarah menunjukkan realiti yang jauh lebih pahit. Sumber bukanlah kekayaan itu sendiri, ia hanya bahan mentah,” katanya.
Menurut Samirul, kekayaan hanya terhasil apabila sumber diurus dengan baik, dibangunkan institusi cekap dan diletakkan dalam strategi jangka panjang tidak terjejas oleh turun naik politik.
“Perkara ini penting kerana dunia dipenuhi negara yang kaya sumber, tetapi miskin dari segi hasil,” katanya. “Venezuela contoh paling jelas dan memberi pengajaran.”
Walaupun memiliki rizab minyak terbesar di dunia, Venezuela gagal menukar kelebihan geologinya kepada kekuatan ekonomi berkekalan.
“Masalahnya bukan minyak, tetapi tadbir urus,” kata Samirul.
Beliau berkata pengalaman Venezuela mencerminkan corak biasa di banyak negara bergantung kepada sumber yang pengurusannya dipolitikkan sekali gus melemahkan institusi serta menyebabkan tenaga mahir berhijrah dan merosakkan disiplin fiskal.
“Apabila kredibiliti hilang, lebihan minyak bertukar menjadi kelemahan ekonomi,” katanya.
Pengeluaran minyak Venezuela hari ini merekodkan kurang daripada satu juta tong sehari, lebih rendah satu pertiga berbanding dua dekad lalu.
“Kejatuhan ini menunjukkan satu perkara penting, hasil ekonomi ditentukan kegagalan institusi, bukan jumlah minyak dalam tanah,” tegas Samirul.
Beliau menegaskan pengalaman Venezuela perlu dilihat sebagai kegagalan ekonomi dan institusi, bukan sokongan politik kepada mana-mana kuasa luar.
“Ini bukan mempertahankan tindakan Donald Trump,” katanya.
Samirul berkata sektor minyak Venezuela lumpuh akibat konflik dalaman, campur tangan politik dan runtuhnya tadbir urus profesional.
Apabila kuasa institusi semakin lemah, pengeluaran merosot, kontrak hilang kepercayaan dan industri itu tidak lagi berfungsi sebagai aset negara yang boleh diharap.
“Kehilangan kredibiliti ini yang akhirnya mengundang campur tangan asing, lebih daripada ideologi,” katanya sambil menambah kegagalan sesebuah negara mengurus institusi ekonominya dengan berkesan berisiko terjejas kedaulatan strategik bukan sahaja kehilangan sumber.
Malaysia pula menunjukkan contoh bertentangan. Walaupun mempunyai rizab lebih sederhana, negara ini masih mampu menjana nilai besar untuk negara kerana institusinya dibina dengan betul.
“Pengalaman Malaysia membuktikan sumber tidak menjadikan negara kaya,” katanya. “Institusi yang menjadikan negara itu makmur.”
Petronas
Di tengah-tengah kejayaan itu ialah Petronas, yang menurut Samirul, dibentuk secara khusus untuk mengelakkan perangkap politik dan ekonomi yang menjerat banyak syarikat minyak nasional di seluruh dunia.
“Kejayaan syarikat minyak nasional tidak bergantung pada slogan pemilikan, tetapi pada reka bentuk institusi, disiplin dan kredibiliti,” katanya.
Beliau berkata Petronas dibina berasaskan pengurusan profesional yang dilindungi daripada campur tangan politik, disiplin komersial yang kukuh, serta pelaburan berterusan dalam modal insan dan teknologi.
“Semua ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia memerlukan kestabilan politik, kesinambungan dasar merentasi pentadbiran dan usaha bersama seluruh persekutuan,” katanya.
Samirul menegaskan ekosistem minyak dan gas Malaysia bukan hasil usaha tunggal kementerian, negeri atau satu kitaran politik sahaja.
“Institusi persekutuan, negeri pengeluar, pengawal selia, jurutera, pemain kewangan dan diplomat semuanya berfungsi dalam kerangka peranan dan tanggungjawab yang dikongsi,” katanya.
“Tiada satu pihak pun mampu membina atau mengekalkan sistem ini secara bersendirian.”
Struktur kerjasama inilah, katanya, yang menyelamatkan Malaysia daripada perangkap sumber.
Beliau turut mengingatkan tidak salah mentafsir geopolitik tenaga global, terutama ketika perdebatan antarabangsa mengenai keselamatan tenaga kembali hangat.
“Berinteraksi dengan naratif tenaga global tidak bermaksud menyokong mana-mana pemimpin atau ideologi,” katanya.
“Ia sekadar mengakui kewujudan kuasa luar dan keperluan menguruskannya secara bijaksana.”
Katanya, Malaysia mengamalkan pendekatan bersifat pragmatik, bukan ideologi.
“Manfaatkan peluang muncul, tetapi jangan tersilap anggap ia sebagai kekuatan atau kejayaan yang kekal,” katanya.
“Geopolitik tenaga boleh membuka peluang, tetapi hanya negara dengan institusi yang tersusun mampu menukarkannya kepada kelebihan jangka panjang.”
Tanpa kesepaduan institusi, negara berisiko menjadi medan perebutan bukan penerima manfaat.
“Di sinilah banyak wilayah kaya sumber tersilap langkah,” katanya.
“Mereka menyangka pemilikan kekayaan bawah tanah secara automatik memberi autonomi strategik.”
Menurut Samirul, tanggapan itu berulang kali terbukti salah. “Ini bukan menafikan hak atau keupayaan tempatan,” katanya. “Ia pemerhatian struktur berdasarkan sejarah.”
Dalam sistem persekutuan khususnya, wilayah kaya sumber berdepan risiko besar apabila penyelarasan institusi gagal, termasuk tadbir urus berpecah, kuasa tawar-menawar lemah dengan syarikat gergasi global dan terdedah kepada tekanan geopolitik yang disamarkan sebagai pelaburan.
“Kesilapan paling mahal dalam persekutuan ialah menyamakan pemilikan dengan autonomi,” katanya.
“Pemilikan menentukan hak, tetapi autonomi memerlukan skala, modal, teknologi, pengaruh diplomatik, kredibiliti kawal selia dan perlindungan keselamatan,” kata Samirul.
Katanya, keperluan itu sukar dibina secara bersendirian.
Apabila ia tiada, wilayah kaya sumber berisiko menjadi sekadar kawasan pengeluaran bukan pemain strategik dan keadaan itu secara sejarahnya mendedahkan ekonomi kepada pengaruh luar.
Menurut, Malaysia dapat mengelakkan situasi itu bukan dengan memusatkan pemilikan semata-mata, tetapi menggabungkan kedaulatan dan menyelaraskan kepentingan bersama.
“Pengaturan ini memberi setiap bahagian dalam persekutuan kuasa rundingan yang lebih kuat berbanding jika bergerak sendirian,” katanya.
Samirul menegaskan pengalaman Venezuela perlu dilihat sebagai amaran ekonomi, bukan slogan politik.
“Pengajarannya mudah,” katanya. “Minyak tanpa tadbir urus mengundang eksploitasi. Autonomi tanpa penyelarasan mengundang perpecahan. Kekayaan tanpa kestabilan politik menarik campur tangan luar.”
“Kekuatan Malaysia bukan kerana ia mempunyai minyak,” tambahnya. “Tetapi kerana ia membina sistem yang cukup kukuh untuk mengurus minyak tanpa dimusnahkan olehnya.”