
Menurut Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), majikan terbabit perlu menyemak semula struktur gaji syarikat bagi memastikan tiada pekerja menerima gaji pokok bawah kadar minimum ditetapkan.
Katanya, sebelum ini kadar baharu berkenaan diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan dilaksanakan 1 Feb lalu untuk majikan mempunyai lima pekerja ke atas.
“Bermula 1 Ogos 2025 semua majikan tanpa pengecualian, termasuk mereka yang sebelum ini menikmati tempoh penangguhan perlu mematuhi perintah gaji minimum RM1,700.
“Ini termasuk untuk pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak terpakai kepada pekhidmat domestik.
“Semua majikan diwajibkan mematuhi kadar minimum ini bagi memastikan hak pekerja dilindungi selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Kesuma menegaskan, majikan yang gagal mematuhi perintah gaji minimum dianggap melakukan kesalahan bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Katanya, kesalahan itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, denda tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan dan bagi kesalahan berulang denda maksimum boleh mencecah RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
“Selain itu, majikan juga perlu membuat penyesuaian operasi secara progresif dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan pelaburan dalam latihan kemahiran pekerja.
“Kita juga turut menggalakkan majikan memanfaatkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada pelaksanaan gaji minimum.
Menurutnya, menerusi DGP, majikan dapat meningkatkan pendapatan pekerja berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, sambil menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan.
“Ini bukan sahaja membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi, malah turut mengukuhkan daya saing jangka panjang dalam pasaran buruh yang semakin mencabar.
“Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai perintah gaji minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara atau melalui laman rasmi kementerian,”katanya.