‘Laporan penuh bedah siasat anggota bomba Adib siap dalam sebulan’

‘Laporan penuh bedah siasat anggota bomba Adib siap dalam sebulan’

Timbalan menteri kesihatan berkata, tempoh itu diperlukan jika ahli patologi berpendapat ujian darah perlu dilakukan dan mengikut kelaziman, keputusan mengambil masa kira-kira sebulan.

Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.
IPOH:
Laporan penuh bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka siap dalam sebulan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata tempoh itu diperlukan jika ahli patologi berpendapat ujian darah perlu dilakukan dan mengikut kelaziman, keputusan mengambil masa kira-kira sebulan.

Bagaimanapun, menurut Dr Lee, sekiranya laporan kecederaan sudah mencukupi untuk mengetahui punca sebenar kematian, maka ujian darah tidak diperlukan.

“Ahli patologi akan tahu sama ada perlu atau tidak untuk menjalani ujian darah untuk kesinambungan kecederaan yang dialami Adib,” katanya selepas menghadiri program gotong-royong di Kampung Rapat Jaya Tambahan hari ini.

Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.