
Menterinya, Dzulkefly Ahmad, berkata ujian makmal menunjukkan kanak-kanak itu positif Influenza A, namun komplikasi utama dikenal pasti ialah radang otak yang menyebabkan sawan.
“Ujian makmal menunjukkan positif jangkitan Influenza A, namun perlu diingatkan komplikasi utamanya adalah radang otak, yang lazimnya boleh menyebabkan sawan, keadaan ini juga boleh disebabkan pelbagai virus lain.
“Jadi, kita belum dapat mengesahkan sepenuhnya ia disebabkan Influenza A, walaupun diagnosis awal (menunjukkan ke arah itu). Lebih baik kita tunggu diagnosis akhir,” katanya selepas sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di sini.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan semua pihak menunggu hasil siasatan penuh sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Menurutnya, kebanyakan kes influenza yang dikesan di seluruh negara menunjukkan simptom ringan dan situasi masih di tahap terkawal buat masa ini, meskipun terdapat wabak membimbangkan.
Dzulkefly berkata, 116 wabak dan 97 kluster influenza dikesan setakat ini dan keadaan itu tidak boleh dipandang ringan, namun orang ramai tidak perlu panik.
Beliau mengingatkan orang ramai yang mengalami gejala supaya memakai pelitup muka, mengamalkan kebersihan tangan dan mengelakkan tempat sesak.
“KKM akan terus menjalankan pemantauan melalui sistem pengawasan ILI (penyakit seperti influenza) dan SARI (jangkitan pernafasan akut teruk).
“Kami juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi menyalurkan maklumat terkini serta memberi nasihat mengenai tahap keseriusan situasi semasa.”