
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, bedah siasat dijalankan hampir lima jam bermula 2.30 petang di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.
“Punca kematian diklasifikasikan sebagai ‘undetermined’ (belum dapat ditentukan) setakat ini,” katanya, lapor Bernama.
Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, tambahnya.
Dalam pada itu, Alzafny berkata, ibu kanak-kanak itu, yang ditahan semalam, telah dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan wanita berusia 35 tahun itu akan dipanggil semula untuk membantu siasatan jika perlu.
Dilaporkan semalam kanak-kanak lelaki itu ditemukan maut di dalam sebuah kereta yang diletakkan di Jalan Tunku Hassan, dipercayai ditinggalkan oleh ibunya yang bertugas di sebuah bank berhampiran sejak 8 pagi.
Kejadian hanya disedari selepas wanita itu selesai bekerja pada 5 petang.