Tekanan pada leher punca kematian murid di Senawang

Tekanan pada leher punca kematian murid di Senawang

Bedah siasat juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa, kata polis.

Alzafny Ahmad
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad kata siasatan kes berhubung seorang murid di Senawang yang meninggal dunia masih dijalankan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Punca kematian murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang, semalam disebabkan tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau yang dijalankan hari ini juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa berusia 10 tahun itu.

“Setakat ini 27 keterangan telah dirakam dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk mengenal pasti punca tindakan sebelum kejadian sehingga kepada siasatan semasa mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah,” menurut kenyataan.

Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli.

Alzafny menggesa orang ramai beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus, dan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas sehingga mengganggu proses siasatan.

Beliau berkata ia mengambil kira sensitiviti melibatkan kanak-kanak yang dilindungi di bawah Akta Kanak-kanak, memandangkan siasatan turut melibatkan saksi dalam kalangan kanak-kanak.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 1.19 tengah hari semalam, ketika murid terbabit sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kementerian menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis.

Beliau berkata KPM pada peringkat ini memberi tumpuan kepada proses psikososial serta sokongan emosi kepada murid dan guru di sekolah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.