Polis jumpa beg tangan dipercayai milik Farah Kartini di Perak

Polis jumpa beg tangan dipercayai milik Farah Kartini di Perak

Pencarian bahan bukti di sebuah parit di ladang kelapa sawit Hulu Selangor sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa.

farah kartini
Lokasi itu terletak kira-kira 20 minit dari ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, yang menjadi kawasan pencarian bahan bukti sebelum ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah ditemukan dalam operasi pencarian bahan bukti dijalankan di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak, semalam.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, mengesahkan penemuan bahan bukti tersebut.

“Ya. Beg wanita yang ditemui itu dipercayai kepunyaan mangsa,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan usaha mencari baki bahan bukti dijalankan berdekatan Sungai Trolak, Perak.

Lokasi itu terletak kira-kira 20 minit dari ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, yang menjadi kawasan pencarian bahan bukti sebelum ini.

Pencarian bahan bukti di sebuah parit di ladang kelapa sawit itu sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa.

farah
Jenazah Nur Farah Kartini Abdullah dikebumikan pada 5.20 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang. (Gambar Bernama)

Mayat Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira 6 petang pada Isnin, selepas bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) itu dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai untuk membantu siasatan kes terbabit bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah Farah Kartini selamat dikebumikan petang tadi di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.