
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai koroner, menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes berkenaan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini, lapor Berita Harian.
Prosiding akan berlangsung pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept dan 22 hingga 30 Sept.
Seramai 195 saksi dikenal pasti untuk inkues itu.
Sementara itu, peguam keluarga Zara, Hamid Ismail berkata pihaknya akan memfail permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues itu supaya mereka boleh menyoal saksi yang bakal dipanggil.
“Jika permohonan diluluskan maka status kami akan bertukar dari pemerhatian kepada pihak berkepentingan.
“Kami juga memohon agar diberikan semua dokumen yang ada pada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang bakal jadi bukti kes. Insya-Allah itu juga akan dilulus,” katanya.
Ketika ditanya mengenai himpunan solidariti untuk Zara, Hamid berkata keluarga mengucapkan terima kasih tetapi berharap ia tidak dijadikan tempat untuk berpolitik.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara memaklumkan satu inkues akan dijalankan bagi menentukan punca dan keadaan kematian Zara, termasuk sama ada wujud unsur jenayah.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos bagi membolehkan bedah siasat dijalankan susulan dakwaan kejadian buli.