
Peguam keluarga Syamsul, Naran Singh berkata tiada keperluan untuk mengadakan inkues kerana punca kematian pelajar itu telahpun diketahui.
Katanya, keputusan bedah siasat kedua yang dibuat pada 29 Ogos lepas mendapati kecederaan leher traumatik mendorong kematian Syamsul dan kecederaan ini berlaku semasa mangsa hidup.
“Kita sudah tahu sebab kematian, maka tak perlu buat inkues. Kalau siasatan dibuat dan ada orang yang terlibat, tuduhla di mahkamah.
“Maka kami memohon AGC ambil tindakan serta-merta dan sekiranya terdapat orang-orang yang terlibat (dalam kes ini) heret mereka ke mahkamah,” katanya dalam sidang media di luar Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur selepas menuntut laporan bedah siasat kedua.
Naran juga menggesa Menteri Pertahanan Khaled Nordin supaya segera menubuhkan pasukan baharu untuk menyiasat kes itu bagi mengesan perlakunya dan mengambil tindakan terhadap mereka.
“Jelas daripada bedah siasat ini, maklumat yang disampaikan menteri tidak tepat,” katanya.
Pada 26 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan jenazah Syamsul digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua susulan usul yang difailkan ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Mahkamah turut mengarahkan laporan bedah siasat tersebut disiapkan dalam tempoh yang munasabah dan salinannya diserahkan kepada peguam keluarga.
Ummu memfailkan usul itu pada 14 Ogos dengan menamakan Ketua Polis Negara Khalid Ismail dan Peguam Negara Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Syamsul, 22, anak sulung daripada tiga beradik, meninggal dunia pada 28 Julai dalam keadaan yang tidak jelas ketika menjalani latihan Palapes di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Ulu Tiram, Johor.
Menurut laporan awal, Syamsul dikatakan mengalami sawan sebelum meninggal dunia. Bagaimanapun, Ummu mendakwa, terdapat kesan lebam dan kecederaan pada tubuh anaknya yang konsisten dengan serangan fizikal, bukannya sawan.
Pada 13 Ogos, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, pihak berkuasa tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa kadet itu didera secara fizikal.
Dapatan awal bedah siasat juga tidak menunjukkan kecederaan akibat dera, walaupun laporan penuh dijangka hanya akan siap dalam tempoh dua bulan, tambahnya.