
Beliau berkata permohonan masuk kemungkinan mengambil masa sebulan atau setahun sebelum parti boleh memberi kata putus sama ada bekas ahli Umno itu akan diterima atau ditolak.
“Ia perlu dirujuk kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis jika ada sebarang kes melibatkan mereka terlebih dahulu sebelum boleh diterima masuk ke dalam parti.
“Ini sangat penting. Kita tidak mahu ada budaya tidak sihat dalam parti. Tapisan permohonan itu berkemungkinan boleh jadi 1 bulan, 2 bulan mahupun setahun. Kita tidak tergesa-gesa,” katanya dalam temubual dengan media hari ini.
Temubual itu diadakan bersempena perhimpunan agung kali kedua parti itu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 28 hingga 30 Disember ini.
Dilapor, PPBM menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti dan menapis permohonan keanggotaan daripada bekas pemimpin Umno yang akan dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Jawatankuasa ini akan meneliti terlebih dahulu setiap permohonan yang diterima untuk memastikan pemohon tidak terpalit dengan sebarang amalan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah.
Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata parti itu hanya mengalu-alukan mereka yang bebas daripada salah laku atau mereka yang bukan penyokong kuat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Umno mengalami krisis apabila beberapa pemimpin termasuk wakil rakyatnya, mengumumkan keluar parti untuk menjadi ahli bebas, manakala ada antara mereka yang bakal menyertai parti komponen PH.
Marzuki berkata di sebalik kemelut lompat parti ini, PH sebenarnya memerlukan pakatan pembangkang yang kuat untuk semak dan imbang segala keputusan dan tindak-tanduk kerajaan baharu ini dalam memperbaiki kesilapan mereka.
“Kita perlukan mereka. Kerana kita tidak tahu bila kita betul dan bila kita salah. Kerana adakalanya ada kebenaran dalam apa yang disampaikan pembangkang, tidak semua salah. Apabila pemimpin Umno tinggalkan parti, pembangkang akan lemah.
“Kerana itu kita tidak putuskan lagi (permohonan masuk). Mungkin pemimpin pembangkang yang tinggal nanti, hanya yang ada di mahkamah menjalani proses pendakwaan,” katanya.
Marzuki berkata kepimpinan parti dijangka membuat ketetapan berkaitan isu lompat parti pada perhimpunan agung minggu depan.
Beliau berkata isu itu juga akan dibahas dan dibangkitkan agar penjelasan dapat diberikan kepimpinan dengan mengambil kira kepentingan parti dan perjuangan yang dibawa selama ini dalam memartabatkan agenda Melayu, Bumiputera dan Islam secara keseluruhan.
“Kita tidak mahu virus-virus yang merosakkan parti dan perjuangan, berada dalam parti. Saya rasa ia akan dibangkitkan dalam perhimpunan agung nanti supaya kita membuat keputusan lebih baik sebelum parti menerima kemasukan mereka,” katanya.
Dilaporkan, kira-kira 3,000 perwakilan daripada semua sayap dijangka menghadiri perhimpunan agung 3 hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara dengan 98 bahagian melibatkan sayap Wanita manakala 115 pula adalah sayap Pemuda