MKT Umno dijangka pecat ahli kerana sertai parti lain

MKT Umno dijangka pecat ahli kerana sertai parti lain

Timbalan Presiden Mohamad Hasan menegaskan tindakan mencuri ahli parti rakan akan menyukarkan hubungan.

Senarai ahli Umno yang sertai parti lain dibentangkan dalam mesyuarat MKT semalam. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dijangka memecat beberapa ahli kerana menyertai parti lain dalam kerajaan sekarang.

Perkara itu didedahkan Timbalan Presiden Mohamad Hasan di Seremban petang tadi, menegaskan tindakan mencuri ahli parti rakan akan menyukarkan hubungan.

“Kalau ini terjadi susahlah. Macam mana kita boleh bekerjasama dan menubuhkan kerajaan tapi masing-masing curi,” katanya lapor Kosmo.

Mohamad memaklumkan MKT melihat ‘beberapa senarai’ ahli berkenaan daripada jawatankuasa disiplin, yang dibentangkan dalam mesyuarat semalam.

“Ini tidak sepatutnya berlaku, tapi bagi individu tersebut dia nak masuk, itu terpulang pada dia. Tapi bagi parti dia mesti ada satu etika di antara satu sama lain,” katanya.

Menyusuli mesyuarat MKT semalam, Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan Umno akan menyampaikan nota bantahan kepada semua kepimpinan parti gabungan kerajaan perpaduan yang bercadang atau sudah mengizinkan kemasukan ahlinya ke dalam parti masing-masing.

Umno menyifatkan bantahan itu sebagai amaran keras, yang jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan.

Jumaat lalu, Bernama memetik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz mengesahkan menjadi ahli PKR Ampang.

Senator itu mengumumkan peletakan jawatannya dalam Umno pada 30 Mei lalu, sekali gus melepaskan jawatan ahli MKT dan ketua Kota Raja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.