Institut UKM ubah tajuk forum masyarakat India migrasi atau imigran

Institut UKM ubah tajuk forum masyarakat India migrasi atau imigran

Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM berkata, forum itu akan diteruskan pada 14 November ini di Bangunan Canselori, UKM.

Atma UKM mengumumkan pembatalan forum itu tanpa memberi sebarang penjelasan, semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia memutuskan untuk meneruskan sebuah forum berkaitan masyarakat India yang mencetuskan kontroversi, tetapi tajuknya akan ditukar.

Penganjur itu berkata, forum berkenaan akan diteruskan pada 14 November ini di Bangunan Canselori, UKM.

“Wacana akan tetap diteruskan dengan tajuk berkaitan dengannya juga, pada hari, tempat dan waktu yang sama,” kata institut itu dalam Facebooknya.

Semalam, Atma UKM mengumumkan pembatalan forum “Polemik Kehadiran Masyarakat India di Semenanjung Tanah Melayu: Migrasi atau imigran?” tanpa memberi sebarang penjelasan, selepas bantahan sebuah pertubuhan politik mewakili komuniti India yang menyifatkan ia tidak sesuai dengan “Malaysia Baharu”.

Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) dilaporkan berkata, forum itu “memalukan” ketika “Malaysia Baharu” sepatutnya mengetepikan soal perkauman dan “perkara yang menimbulkan kebencian antara kaum”.

Forum itu sepatutnya disertai 4 ahli panel, iaitu Datuk Ahmad Murad Merican dan Nasha Rodziadi Khaw dari Universiti Sains Malaysia (USM), Timbalan Pengarah Atma, Zuliskandar Ramli dan penganalisis politik, Azharuddin Mohamed Dali dari Universiti Malaya.

FMT cuba menghubungi Atma UKM untuk mengetahui tajuk baru forum itu dan adakah 4 panelis itu dikekalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.