6 mayat mangsa bot karam ditemui pihak berkuasa Thailand

6 mayat mangsa bot karam ditemui pihak berkuasa Thailand

Ia menjadikan keseluruhan mangsa ditemui setakat ini 26 orang iaitu 13 masih hidup manakala 13 lagi meninggal dunia.

Sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat menyertai operasi Carilamat mangsa bot karam di perairan dekat sempadan Thailand-Malaysia di luar Langkawi. (Gambar Reuters)
LANGKAWI:
Enam lagi mayat imigran dipercayai mangsa bot karam ditemui terapung oleh pihak berkuasa Thailand di perairan sempadan Malaysia-Thailand semalam.

Ini menjadikan keseluruhan mangsa ditemui setakat ini 26 orang, iaitu 13 ditemui masih hidup, manakala 13 lagi meninggal dunia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa, berkata pihak berkuasa Thailand turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di kawasan perairan mereka.

“Di pihak Thailand, mereka melaksanakan operasi Carilamat dan memaklumkan enam mayat ditemui dan tiada mangsa yang hidup.

“Kita menjangka hari ini mungkin ada lagi penemuan mangsa baharu berdasarkan trend arus laut yang membawa ke perairan Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini.

Romli berkata, operasi Carilamat hari ini diteruskan dengan sektor pencarian diperluaskan kepada lebih 250 batu nautika persegi membabitkan aset pelbagai agensi.

Jelasnya, peluasan radius pencarian dibuat berdasarkan pergerakan arus laut yang mungkin menolak mangsa ke lokasi lebih jauh dari tempat kejadian.

Fokus pencarian pihak Malaysia tertumpu di selatan perairan Pulau Tarutao, manakala pihak berkuasa Thailand memfokuskan bahagian utara pulau itu.

Beliau berkata, kira-kira 300 imigran warga Myanmar etnik Rohingya dan Bangladesh menaiki sebuah kapal besar sebelum dipindahkan ke dua bot lebih kecil.

Tetapi, sebuah bot membawa kira-kira 70 imigran dipercayai karam di perairan Pulau Tarutao, kira-kira 2.5 batu nautika dari utara Langkawi. Kedudukan kapal utama dan sebuah lagi bot membawa kira-kira 230 imigran belum diketahui.

Ketua Polis Langkawi, Khairul Azhar Nuruddin, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung pembabitan sindiket dipercayai mengendalikan perjalanan imigran terbabit.

Katanya, hasil soal siasat sembilan mangsa mendapati mereka berurusan dengan ejen di Myanmar dan dipercayai ada ejen di Malaysia berdasarkan beberapa nombor telefon diperoleh daripada mangsa.

“Namun, siasatan masih di peringkat awal. Berdasarkan nombor telefon tersebut, kami akan meneruskan siasatan dan tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan sindiket.”

Menurutnya, polis turut menjalankan siasatan terperinci terhadap dua warga Bangladesh ditemui selamat semalam untuk menentukan sama ada mereka benar-benar mangsa atau merupakan tekong mahupun kru bot.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.