Pelarian bukan pendatang tanpa dokumen, kata Badan Peguam

Pelarian bukan pendatang tanpa dokumen, kata Badan Peguam

Kerajaan menganggap pelarian dan pemohon suaka sebagai pendatang tanpa dokumen atau haram bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Hampir sejuta Rohingya melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman di Myanmar, dengan Malaysia menempatkan hampir 110,000 etnik itu setakat bulan lalu. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Badan Peguam menggesa pembuat dasar negara mengiktiraf bahawa pelarian bukan pendatang tanpa dokumen atau tanpa izin.

Dalam kenyataan sempena Hari Pelarian Sedunia, Presiden Badan Peguam Ezri Abdul Wahab, berkata penting untuk memahami bahawa pelarian dan pemohon suaka terpaksa melarikan diri akibat keadaan yang bahaya di negara mereka.

Kerajaan menganggap pelarian dan pemohon suaka sebagai pendatang tanpa dokumen atau haram bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Malaysia juga bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, bertujuan melindungi hak mereka yang diberi suaka oleh negara melindungi mereka.

Ezri berkata, walaupun terdapat banyak desakan untuk perlindungan undang-undang bagi pelarian di Malaysia, negara ini belum mempunyai rangka kerja undang-undang dan pentadbiran mencukupi untuk mengesahkan dan melindungi pelarian.

Katanya, kurangnya undang-undang berkesan untuk pelarian menyebabkan mereka dipinggirkan dan menghalang daripada menikmati hak asasi asas manusia seperti peluang pekerjaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Langkah pertama adalah membuat usaha ikhlas untuk menangani dan memperbetulkan naratif bahawa pelarian adalah pendatang tanpa dokumen kerana ini merupakan halangan utama yang menghalang mereka daripada diberikan hak asasi dan perlindungan di Malaysia,” katanya.

“Badan Peguam percaya dan berharap Malaysia dapat bertindak balas terhadap pelarian dan pemohon suaka dengan hormat dan tanggungjawab.

“Kita tidak boleh lagi mengabaikan penderitaan yang jelas dialami oleh orang lain, terutama ketika usaha bersama dan peruntukan sumber yang betul dapat membuat perbezaan yang bermakna dalam kehidupan pelarian, baik sebagai individu mahupun sebagai komuniti.”

“Pelarian dan pemohon suaka juga manusia seperti kita dan berhak untuk dilayan dengan baik dan penuh rasa hormat.”

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 20 Jun sebagai Hari Pelarian Sedunia untuk memperingati keberanian dan kekuatan pelarian di seluruh dunia yang terpaksa melarikan diri dari negara asal mereka akibat konflik atau penganiayaan.

Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) melaporkan bahawa Malaysia kini menempatkan hampir 190,000 pelarian dan pencari suaka hingga bulan lalu, termasuk hampir 110,000 pelarian Rohingya.

Malaysia juga menjadi tempat perlindungan bagi pelarian dan pemohon suaka yang melarikan diri daripada perang dan penganiayaan dari 50 negara lain termasuk Palestin, Iraq, Syria, Afghanistan, Pakistan, Yaman, Somalia, dan Sri Lanka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.