Putrajaya belum jawab surat PBB mengenai isu pekerja Bangladesh

Putrajaya belum jawab surat PBB mengenai isu pekerja Bangladesh

Pakar PBB menggesa Malaysia memenuhi tanggungjawab antarabangsa untuk melindungi pekerja asing daripada pencabulan hak asasi manusia.

Pekerja-Asing
Pakar PBB berkata perincian oleh pekerja Bangladesh mengenai bagaimana mereka direkrut untuk pekerjaan tidak wujud menunjukkan mereka mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan buruh paksa.
PETALING JAYA:
Malaysia masih belum memberi maklum balas terhadap surat dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai dakwaan penipuan pengambilan pekerja asing warga Bangladesh oleh rangkaian penjenayah.

Surat berkenaan yang sebelum ini sulit kini tersedia secara dalam talian dan dikatakan tidak dijawab selama 60 hari.

Dalam surat bertarikh 28 Mac dialamatkan kepada wakil tetap Malaysia ke PBB di Geneva, empat pakar PBB berkata mereka bimbang terhadap amalan mengelirukan syarikat palsu yang merekrut pekerja dari Bangladesh untuk bekerja di Malaysia.

Surat tersebut menyatakan bahawa pekerja dipaksa membayar yuran perekrutan yang tinggi, menyebabkan mereka terjerat dengan hutang.

Pakar tersebut menyatakan bahawa, setibanya di Malaysia, ramai pekerja Bangladesh itu mendapati pekerjaan yang dijanjikan kepada mereka sebenarnya tidak wujud.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa tinggal melebihi visa, hingga berisiko ditangkap, ditahan, dilayan dengan buruk, dan dihantar pulang.

Mereka menegaskan bahawa keadaan yang digambarkan oleh pekerja ini umpama pemerdagangan manusia dan buruh paksa, selari dengan penunjuk buruh paksa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Pakar itu juga menggesa Malaysia memenuhi tanggungjawab antarabangsa dengan melindungi hak asasi manusia pekerja yang terjejas, dan memberi amaran sekiranya eksploitasi dibiarkan berlanjutan ia mungkin mencetuskan satu ‘situasi kemanusiaan’.

Mereka juga mendesak kerajaan memberikan perhatian segera terhadap isu ini dengan memastikan semua pekerja asing yang terjejas dilindungi daripada dihantar pulang, sementara mahkamah memutuskan sama ada pekerja itu menjadi mangsa pemerdagangan atau menjadi mangsa eksploitasi buruh.

Mereka juga menyatakan bahawa pekerja asing berkenaan harus diberi bantuan untuk memenuhi keperluan harian termasuk penginapan, makanan, dan barangan asas selama mereka tidak mendapat pekerjaan.

Pakar itu turut menamakan beberapa perniagaan yang dipercayai sebagai majikan palsu, dan mendakwa beberapa kawasan seperti Cheras dan Chow Kit, di Kuala Lumpur, serta di Pengerang, Johor sebagai lokasi pekerja ini tertumpu.

“Kami percaya bahawa orang ramai harus diberitahu tentang potensi implikasi daripada tuduhan di atas,” kata mereka.

“Kami menghargai jika menerima maklum balas dalam tempoh 60 hari. Selepas tempoh ini, komunikasi ini dan sebarang maklum balas diterima daripada kerajaan Malaysia akan dipaparkan melalui laman sesawang laporan komunikasi.

Pakar itu juga menyatakan bahawa kandungan surat tersebut akan dimasukkan dalam laporan tahunan mereka kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Mereka juga memberi peringatan kepada kerajaan bahawa kegagalan memberikan bantuan dan perlindungan kepada pekerja asing yang diperdaya adalah melanggar Konvensyen Asean Menentang Pemerdagangan Orang, Terutama Wanita dan Kanak-Kanak, yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 2015.

Surat tersebut ditulis bersama oleh pelapor khas PBB mengenai bentuk-bentuk perhambaan kontemporari, termasuk penyebab dan akibatnya, Tomoya Obokata; pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia migran, Gehad Madi; pelapor khas PBB mengenai pemerdagangan orang, terutama wanita dan kanak-kanak, Siobhán Mullally; dan pengerusi pelapor kumpulan kerja PBB mengenai isu hak asasi manusia dan syarikat antarabangsa serta perniagaan lain, Robert McCorquodale.

Surat tersebut meminta maklumat tentang kesusahan yang dihadapi oleh pekerja asing yang tertipu dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dalam hal tempat tinggal, makanan, perkhidmatan kesihatan, sokongan undang-undang dan sosial.

Kerajaan juga diminta menjelaskan bagaimana agensi perekrutan swasta dikawal, langkah-langkah yang diambil untuk menangani dan membongkar rangkaian perekrutan pekerja asing palsu, dan sama ada terdapat langkah-langkah yang dilakukan untuk menghentikan syarikat palsu daripada mengeluarkan permit kepada pekerja asing.

Surat yang sama juga dihantar kepada wakil tetap Bangladesh ke PBB, tetap turut tidak dijawab.

FMT menghubungi Wisma Putra dan pejabat wakil tetap Malaysia ke PBB di Geneva untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.