Kerajaan ulangi komitmen lindungi hak pekerja asing kepada PBB

Kerajaan ulangi komitmen lindungi hak pekerja asing kepada PBB

Malaysia menjawab surat dari PBB mengenai dakwaan berlakunya penipuan pengambilan pekerja Bangladesh oleh rangkaian jenayah.

bangladesh
Wakil tetap Malaysia di PBB, Nadzirah Osman berkata Putrajaya kekal dengan komitmen untuk melindungi hak dan kebajikan pekerja asing.
PETALING JAYA:
Kerajaan memberi jaminan terhadap komitmennya untuk melindungi hak pekerja asing di negara ini ketika membalas surat dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 28 Mac.

Wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva, Nadzirah Osman menghantar surat balasan itu pada Selasa kepada ketua cawangan prosedur khas Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR), Beatriz Balbin.

“Kami memberi jaminan bahawa Malaysia masih komited untuk melindungi hak dan kesejahteraan pekerja asing,” kata Nadzirah.

Nadzirah Osman.

Nadzirah memberitahu beliau turut memasukkan dalam surat itu dokumen tambahan yang menggariskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memerangi eksploitasi dan pemerdagangan manusia.

Pada Selasa, dilaporkan Putrajaya belum lagi memberi jawapan kepada surat dari PBB mengenai dakwaan berlakunya penipuan dalam aktiviti merekrut pekerja Bangladesh oleh rangkaian jenayah.

Dalam surat itu, empat pakar PBB menyatakan kebimbangan mereka tentang amalan penipuan syarikat palsu yang merekrut pekerja dari Bangladesh, yang untuk bekerja di Malaysia.

Mereka menekankan isu-isu seperti ikatan hutang, layanan buruk, dan eksploitasi pekerja asing, yang semuanya selaras dengan petunjuk buruh paksa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Dalam menjawab surat itu, Nadzirah menyatakan kes di mahkamah di mana 733 pekerja Bangladesh yang ditipu dianugerahkan lebih RM1 juta gaji yang tidak dibayar, sebagai bukti usaha kerajaan untuk menegakkan hak pekerja asing.

Dalam kes itu, sehingga 17 Mei, 692 daripada 733 pekerja yang terjejas ditempatkan dengan majikan baru melalui Jabatan Buruh Johor.

Nadzirah juga menyatakan langkah-langkah lain diambil kerajaan, termasuk pemeriksaan perniagaan secara berkala, senarai hitam majikan berdasarkan cadangan Jabatan Buruh, mengawal agensi pengambilan pekerja, dan menangani aduan yang dibuat di pejabat buruh atau melalui aplikasi Working for Workers (WFW).

Beliau menambah Jabatan Buruh juga melakukan usaha penempatan semula untuk menyelamatkan dan memindahkan pekerja asing yang dieksploitasi kerana tidak diberikan pekerjaan yang sesuai, gaji yang mencukupi, atau penginapan oleh majikan mereka.

“Pada 2023, Jabatan Buruh memindahkan semula 1,664 pekerja asing kepada majikan baru, dan pada 2024, sehingga April, 910 pekerja asing dipindahkan kepada majikan baru,” kata Nadzirah.

Beliau juga menekankan bahawa kerajaan komited untuk menangani isu-isu yang dibangkit PBB secara menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.