
Human Rights Watch (HRW) berkata, ketika menjadi pemimpin pembangkang, Anwar mengkritik pendekatan keras yang diambil oleh dua kerajaan “gabungan nasionalis” terdahulu terhadap pelarian.
HRW juga berkata, PKR yang dipimpin oleh Anwar, berjanji untuk meluluskan konvensyen pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membolehkan negara secara rasmi mengiktiraf pelarian dan hak mereka untuk bekerja.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut berkata, Anwar gagal memenuhi komitmennya, dengan mengekalkan pendirian keras penguatkuasaan imigresen seperti pemimpin sebelumnya.
“Sejak menjadi perdana menteri pada Nov 2022, Anwar secara keseluruhan gagal memenuhi janji reformasinya demi mempertahankan kerajaan gabungan beliau.
“Tidak banyak yang berubah di bawah kerajaan baru yang dipimpin oleh bekas tahanan politik, Anwar,” kata HRW dalam laporannya bertajuk “We Can’t See the Sun – Malaysia’s Arbitrary Detention of Migrants and Refugees”.
HRW berkata sepanjang tempoh ketidakstabilan politik dari Mac 2020 hingga Nov 2022, kerajaan menggunakan pandemik Covid-19 untuk menindas pelarian dan pendatang.
Retorik anti-pendatang dan serbuan meluas terhadap imigran terus berlanjutan di bawah kerajaan Anwar, tambah kumpulan itu.
“Serbuan ke atas komuniti pendatang dan pelarian serta larangan akses UNHCR ke pusat tahanan imigresen terus berlanjutan hingga kini,” kata kumpulan itu.
Laporan HRW juga mendedahkan sejumlah penganiayaan di pusat tahanan imigresen di seluruh negara, merekodkan pengalaman bekas tahanan mengenai insiden penyiksaan, antara lain, yang dialami oleh pelarian dan pencari suaka politik.