
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa, berkata penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan imigran yang ditemukan maut ialah tujuh orang.
Seramai 13 lagi imigran selamat termasuk tiga yang ditemukan hari ini.
“Pada 3.11 petang, Maritim Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi mendapat panggilan berhubung dua lelaki terapung di kawasan tuas Kuala Muda Teriang dan seterusnya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.
“Pada 5 petang tadi, bot milik Maritim Malaysia, PETIR 81 menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan manakala kira-kira 6.01 petang, bot Jabatan Perikanan menjumpai seorang lelaki yang masih hidup dan terapung.
“Sementara, lima lagi mayat wanita telah ditemukan di dua lokasi berasingan sebelum semuanya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan.
Beliau berkata radius sektor pencarian bagi operasi mencari dan menyelamat (carilamat) diperluas meliputi 170 batu nautika persegi.
“Operasi carilamat ditangguhkan pada 7 petang hari ini dan akan disambung semula pagi esok,” katanya.
Operasi carilamat dijalankan susulan insiden satu daripada tiga bot yang didakwa membawa kira-kira 300 penumpang imigran karam di Pulau Tarutao di kawasan perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia.