
Turut dilantik adalah tokoh akademik yang juga bekas naib canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Syed Jalaludin Syed Salim; Pengarah Urusan Evergreen Livestock Sdn Bhd, yang merupakan tokoh perniagaan dalam sektor tenusu, Datuk Yap Yun Fook dan ketua pegawai eksekutif Mentari Technobee PLT, Mohd Hisyamuddin Ghazali.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memaklumkan pelantikan baru ini menjadikan MPPN kini dianggotai 7 orang daripada 10 kuota yang diputuskan Jemaah Menteri.
“Dengan gabungan ini, MPPN berupaya mengembleng kepakaran serta pengalaman luas mereka agar majlis ini terus memainkan peranannya sebagai badan penasihat mewakili pelbagai pihak berkepentingan untuk berbincang serta mengenal pasti dan mencadangkan hala tuju sektor pertanian, termasuk hal-hal berkaitan jaminan bekalan makanan supaya seiring dengan keperluan semasa,” katanya.
Keanggotaan MPPN sebelum ini dibarisi Tan Sri Abdul Rahman Mamat selaku pengerusi, serta Tan Sri Francis Lau Tuang Nguang dan Prof Datin Paduka Dr Fatimah Mohd Arshad.
Menurut kenyataan itu, MPPN yang bersidang 7 kali sejak penubuhannya telah mengemukakan syor kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berdasarkan pemerhatian ke atas sektor pertanian negara.
Kesemua syor itu akan dikaji lebih lanjut untuk digunakan oleh pihak kementerian dalam merangka hala tuju MOA serta mengambil perhatian dalam merangka Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 yang akan menjadi teras pelaksanaan dasar kementerian 2021-2030.
Pandangan MPPN akan diangkat untuk makluman Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya sebagai memenuhi mandat yang diberikan kepada majlis itu dalam mencetuskan idea untuk merealisasikan harapan kerajaan Pakatan Harapan untuk memartabatkan semula sektor pertanian negara dan membela nasib golongan petani.