
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, sebarang usaha mengaktifkan semula MPPN, yang ditubuhkan bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144), tertakluk pada keputusan perdana menteri.
“Belum ada perancangan untuk mengaktifkan semula MPPN, tertakluk kepada keputusan perdana menteri selaku menteri yang dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal petroleum bawah Akta 144,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Azalina berkata demikian sebagai respons kepada Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang mahukan maklumat terkini mengenai status MPPN.
Majlis itu, yang pertama kali bersidang pada 9 April 1975, ditugaskan untuk menasihati perdana menteri mengenai perkara berkaitan dengan sektor petroleum.
Bagaimanapun, majlis tidak lagi bersidang sejak persidangan terakhirnya hampir tiga dekad lalu.
Walaupun MPPN sudah tidak aktif, Azalina menyatakan bahawa kerajaan telah menubuhkan Majlis Tenaga Negara (MTN), yang bermesyuarat buat kali pertama pada 2 April lepas.
MTN yang dipengerusikan oleh perdana menteri, dengan Kementerian Ekonomi bertindak sebagai sekretariat, ditubuhkan untuk memudahkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“MTN bertujuan mengemudi hala tuju sektor tenaga negara dan memastikan kebertanggungjawaban dan kepemilikan yang kukuh oleh pelbagai kementerian dan agensi pelaksana dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif dasar berkaitan tenaga,” kata Azalina.