Arahan tutup 30 hari ikut peraturan, kata exco Johor

Arahan tutup 30 hari ikut peraturan, kata exco Johor

Jafni Shukor memberi amaran tindakan lebih tegas akan dikenakan jika kesilapan memasang Jalur Gemilang berulang.

Jafni Md Shukor
Exco Johor Jafni Shukor berkata kecuaian memasang Jalur Gemilang ‘bukan perkara kecil’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Johor mempertahankan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengarahkan penutupan dua premis perniagaan mengikut undang-undang dan menafikan dakwaan DAP arahan itu ultra vires serta kejam.

Minggu lalu, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengarahkan penutupan sementara sebuah pasar mini di Pekan Nenas dan klinik pergigian di Pontian kerana memasang Jalur Gemilang terbalik.

Exco Johor, Jafni Shukor, berkata arahan itu tidak dikeluarkan sewenang-wenangnya, sebaliknya mengikut Undang-undang Kecil (UUK) 49(2) serta 45(1) Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 2019.

“Ia tindakan mengikut undang-undang dan merupakan amaran keras agar semua pihak tidak cuai atau mengambil sikap sambil lewa apabila menyentuh isu berhubung kai kedaulatan dan maruah negeri serta negara,” katanya dalam kenyataan.

Jafni berkata, tindakan lebih tegas dan tanpa kompromi akan dikenakan jika insiden sama berulang.

Kenyataannya menyusul petisyen dikemukakan bekas ketua DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau untuk tindakan tatatertib dikenakan terhadap Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsuddin atas arahan penutupan premis perniagaan itu.

Boo berkata, arahan Azim kelihatan tidak sah kerana kuasa PBT di bawah Akta Kerajaan Tempatan terhad kepada insiden membabitkan kacau ganggu, kesihatan dan kebersihan awam dalam kawasan mereka.

Jafni bagaimanapun berkata, kecuaian mempamerkan Jalur Gemilang “bukan perkara kecil”.

“Alasan kecuaian pekerja tidak wajar kerana majikan warganegara wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesalahan dan kesilapan di premis masing-masing.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.