Johan Ariffin, Sharifah Munirah, Tajuddin Rasdi dilantik ahli majlis perpaduan

Johan Ariffin, Sharifah Munirah, Tajuddin Rasdi dilantik ahli majlis perpaduan

Mereka yang juga kolumnis FMT akan berkhidmat di Majlis Penasihat Perpaduan Negara selama dua tahun.

Johan Ariffin, Sharifah Munirah Alatas and Tajuddin Rasdi
Johan Ariffin Samad, Sharifah Munirah Alatas dan Tajuddin Rasdi dilantik ke Majlis Penasihat Perpaduan Negara bersama sembilan tokoh lain.
PETALING JAYA:
Aktvis Johan Ariffin Samad serta dua ahli akademik Sharifah Munirah Alatas dan Tajuddin Rasdi dilantik ke Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) bersama sembilan tokoh yang lain.

Johan, Munirah dan Tajuddin, yang juga kolumnis FMT, akan berkhidmat dalam majlis itu untuk tempoh dua tahun.

Dalam satu hantaran di Facebook, Munirah menyuarakan harapan agar wujud ruang perbincangan yang membina serta platform produktif di mana cadangan ke arah Malaysia yang lebih harmoni dapat didengar.

Sarjana bebas itu berkata ‘set minda’ keras kepala telah menimbulkan banyak ketidakharmonian selama beberapa dekad.

Beliau berkata ‘set minda’ sedemikian wujud di semua peringkat masyarakat, termasuk dalam kalangan ahli politik, penjawat awam dan rakyat biasa.

“Akhirnya, kita semua mahukan perubahan dalam set minda.

“Semua 12 ahli ini memikul tanggungjawab yang mencabar dan saya percaya kami akan melakukan yang terbaik, tanpa agenda peribadi.”

Johan, ahli kumpulan G25 yang terdiri daripada bekas penjawat awam kanan, berkata beliau berharap dapat menyumbang kepada agenda perpaduan negara dan merapatkan jurang antara rakyat Malaysia di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Katanya, politik identiti dan perkauman sentiasa menjadi cabaran besar dalam usaha memupuk perpaduan negara.

“Saya harap kita dapat mengatasi halangan itu dan menyumbang idea baharu melalui dialog yang bermakna,” kata Johan, yang juga dikenali sebagai Joe Samad, kepada FMT.

Sementara itu, Tajuddin dari Universiti UCSI ketika dihubungi berkata tumpuan utamanya ialah berinteraksi dengan institusi-institusi Islam dalam usaha mendidik umat Islam supaya lebih progresif dan inklusif dalam memahami aspek kerohanian dan pembinaan negara.

Beliau berkata berdasarkan kajiannya, termasuk terhadap khutbah Jumaat dan buku teks Islam, masih kurang penekanan diberi kepada seni, warisan dan tamadun.

“Jika perkara ini tidak dihargai, usaha serta dasar kita untuk menyatukan rakyat akan sia-sia,” katanya.

Majlis Penasihat Perpaduan Negara ditubuhkan untuk menasihati kerajaan berhubung isu berkaitan perpaduan nasional.

Antara tokoh lain yang dilantik dalam majlis itu adalah CEO Institute for Development Studies Sabah Ramzah Dambul; Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya; Pengerusi Dayak Cultural Foundation Neilson Ilan Anak Mersat; Pemegang Amanah Women’s Institute of Management Ainon Kuntom; serta pengasas Pusaka Eddin Khoo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.