Mesyuarat pertama MPPN bincang kaedah tangani 3R, setuju tindakan bersepadu

Mesyuarat pertama MPPN bincang kaedah tangani 3R, setuju tindakan bersepadu

Pendekatan 'alert', 'sensitive', 'engagement' dan 'control' akan jadi kaedah utama tangani isu sensitif, menurut Kementerian Perpaduan Negara.

Mesyuarat MPPN pertama tahun ini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, dan turut disertai oleh Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang serta barisan ahli majlis seramai 14 orang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) dalam mesyuaratnya hari ini bersetuju tindakan bersepadu dan kolaborasi antara agensi digerakkan secara efektif agar isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) dapat ditangani secara berkesan.

Kementerian Perpaduan Negara berkata, mesyuarat itu membincangkan kajian isu perpaduan daripada aspek keselamatan yang dibentangkan oleh polis yang turut melaporkan sebanyak 44 isu berkait 3R direkod dari Januari hingga April 2025, berdasarkan laporan.

“Pendekatan ‘alert’, ‘sensitive’, ‘engagement’ dan ‘control’ akan menjadi kaedah utama dalam menangani isu sensitif di negara ini,” kata kementerian dalam kenyataan.

Mesyuarat MPPN pertama tahun ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof itu turut disertai oleh Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang serta barisan ahli majlis seramai 14 orang yang terdiri daripada tokoh masyarakat.

Dalam mesyuarat itu, Fadillah menekankan kepentingan menangani isu provokasi dan sentimen perkauman di media sosial dengan tegas dan berkesan.

Beliau menyeru agar agensi penguatkuasaan seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertindak pantas, manakala agensi kerajaan perlu bekerjasama secara menyeluruh bagi memastikan keharmonian dan perpaduan negara terus terpelihara.

Sementara itu, berhubung Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, Kementerian Perpaduan Negara berkata, kerajaan menetapkan agar latihan asas di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), politeknik dan institut pendidikan guru (IPG) bermula dari pengambilan pelajar bagi sesi akademik 2026/2027.

Katanya, langkah itu menandakan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara dengan memasukkan elemen latihan asas bertujuan melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan sebelum mereka melangkah ke dunia profesional.

Selain itu, Aaron memaklumkan Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Persidangan Pembinaan Negara Bangsa Madani pada bulan depan dengan matlamat utama untuk mewujudkan suatu wadah wacana kebangsaan yang membincangkan pendekatan, strategi dan dasar ke arah memperkukuh negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif serra berteraskan nilai-nilai madani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.