
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, sejak pemergian Salahuddin, bekas menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai tahun lalu, momentum dan prestasi Amanah dilihat semakin ‘tepu’.
“Projek Rahmah beliau mendapat sambutan baik dan beri kesan sangat besar tetapi setelah perginya beliau, momentum dalam Amanah itu tiada.
“Jadi pemimpin Amanah dalam kerajaan perlu gandakan usaha bawa projek berimpak besar seperti ditunjukkan olehnya…bila arwah tak ada nampak seperti sepi sedikit program berimpak tinggi,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, beberapa pemerhati politik berpendapat Amanah masih gagal memainkan peranan proaktif mendapatkan sokongan Melayu untuk Pakatan Harapan (PH).
Amanah kini menyandang dua jawatan menteri dengan Presiden Mohamad Sabu di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala Naib Presiden Dzulkefly Ahmad menerajui Kementerian Kesihatan.
Ketua Wanita Aiman Athirah Sabu pula menyandang timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan manakala Naib Presiden Adly Zahari diberi tanggungjawab timbalan menteri pertahanan.
Mazlan berkata, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat yang menggantikan kerusi disandang Salahuddin di Parlimen Pulai antara pemimpin Amanah wajar diketengahkan selain Ketua Pemudanya Hasbie Muda.
“Mereka saya lihat antara orang yang ada potensi sekiranya diberi ruang, boleh beri satu suntikan kepada Amanah untuk lebih diterima rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berpandangan peranan Amanah dalam menjuarai isu Melayu-Islam mewakili PH sedikit terjejas apabila Umno bersama dalam kerajaan perpaduan.
“Memang harapan untuk menarik undi Melayu ini boleh diletakkan atas bahu Umno selaku parti yang dikenali sebagai juara isu Melayu namun kemerosotan (Amanah) akan mendatangkan kesan besar kepada PH kerana parti itu tidak mampu menyumbang banyak kerusi untuk gabungannya menang selesa.
“Ini akan membahayakan kedudukan parti lain dalam PH,” katanya merujuk PKR dan DAP.
“Jadi ini waktu sesuai untuk Amanah memperbaharui hala tuju mereka agar kecelaruan politik dapat dielakkan.”