
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) Abdul Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan bermula semalam telah diserahkan kepada premis itu.
Katanya, tindakan diambil selepas pasar raya mini itu didapati melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan 2019, iaitu berhubung pengibaran bendera.
“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau bagaimanapun berkata, pemilik premis boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan itu, namun keputusan lanjut tertakluk pada budi bicaranya.
Abdul Azim menegaskan, semua masyarakat termasuk individu dan pemilik perniagaan hendaklah memastikan bendera dipasang dengan betul.
“Pemilik premis perniagaan khasnya jangan biarkan pekerja memasang bendera tanpa dipantau dan disemak.
“(Mereka) perlu bertanggungjawab ke atas perbuatan pekerja,” katanya.
Sementara itu, Adun Pekan Nanas Tan Eng Meng berkata, pasukan pemantau khas telah ditubuhkan bagi memastikan Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang dengan betul di kawasan itu.
Menurutnya, pasukan tersebut dianggotai ahli MPPn, ketua kampung serta ketua masyarakat yang akan turun padang memantau premis perniagaan dan rumah-rumah.