Pakar jenayah cadang buli siber dikategori kesalahan serius

Pakar jenayah cadang buli siber dikategori kesalahan serius

Buli siber memberi kesan besar kepada kanak-kanak dan remaja kerana mereka mempunyai akses internet di rumah, sekolah dan lain-lain premis.

Buli siber bukan hanya berlaku dalam kalangan dewasa, tetapi kanak-kanak dan remaja juga terlibat. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Pakar kriminologi menggesa agar buli siber diklasifikasikan sebagai kesalahan serius, mengatakan ia mendorong ramai orang membahayakan diri sendiri, malah bunuh diri.

Prof Madya P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia, mengulas laporan laman web nasihat keselamatan dan privasi dan perbandingan, comparitech.com baru-baru ini yang menunjukkan Malaysia melonjak ke tempat ke-6 daripada 28 negara dalam kaji selidik berhubung buli siber.

Malaysia menduduki tempat ke-2 paling buruk di Asia, lebih baik berbanding India tetapi lebih buruk daripada Arab Saudi, China, Korea Selatan dan Jepun.

Sundramoorthy berkata membuli itu sendiri sudah menjadi masalah utama di sekolah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Buli siber memberi kesan besar kepada kanak-kanak dan remaja kerana kebanyakan mereka mempunyai akses internet di rumah, sekolah dan lain-lain premis,” katanya kepada FMT.

Ini juga bermakna buli siber boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana tempat di dunia.

“Mangsa buli siber berasa tertekan dan kosong kerana gangguan yang mereka terima. Mereka juga berasa putus asa dan terasing.

“Dalam kes yang teruk, mangsa cuba membunuh diri dan kadang-kadang berjaya.”

Jika ia diklasifikasikan sebagai jenayah serius, katanya, pembuli siber boleh dihukum dengan hukuman yang berat.

“Terdapat mereka yang sengaja membuli orang dalam talian sama ada mereka kejam atau tidak kejam, atau kerana mereka terlalu takut untuk melakukannya secara peribadi. Apa pun, ia tidak boleh diterima.”

Beliau menambah ramai remaja menyokong buli siber dengan menganggapnya sebagai satu kejadian biasa, menonjolkan keperluan satu program untuk meningkatkan kesedaran berhubung isu itu.

Ahli kriminologi lain, Dr Geshina Ayu Mat Saat bersetuju pendidikan memainkan peranan penting dalam menangani keadaan tersebut, selain penguatkuasaan undang-undang dan hukuman yang jelas bagi mereka yang melanggarnya.

Beliau berkata buli siber juga berlaku dalam kalangan dewasa, bukan hanya kanak-kanak yang meniru apa yang mereka perhatikan di media sosial.

Beliau berkata buli siber menarik sokongan pembuli dalam talian lain atau yang digelar “keyboard warrior” kerana kurang penguatkuasaan.

Ramai daripada mereka ini juga akan menafikan kata-kata atau tindakan mereka yang mencetuskan buli, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.