KPM sedia kaunseling, bantuan buat guru dibuli siber

KPM sedia kaunseling, bantuan buat guru dibuli siber

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia bagi memastikan kesejahteraan guru sentiasa dipelihara dalam semua aspek.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah mengambil tindakan segera melindungi guru dibuli siber.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan bantuan undang-undang dan kaunseling kepada guru wanita dibuli siber atas “kehilangan” murid di sekolah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia bagi memastikan kesejahteraan guru sentiasa dipelihara dalam semua aspek, termasuk emosi supaya mereka dapat menjalankan tugasan hakiki dengan baik tanpa gangguan.

“Apabila ada aduan atau kes buli siber membabitkan guru, tindakan perlu diambil segera pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi melindungi guru terbabit.

“Laporan pihak berkuasa perlu dibuat bagi kes di luar bidang kuasa KPM,” katanya menurut Berita Harian selepas pelancaran “Jamalullail Digital In School” di Kangar yang dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baru-baru ini, tular kejadian guru mengalami tekanan perasaan akibat dibuli siber seorang wanita yang mendakwa sengaja tidak mahu mencari anaknya dikatakan hilang.

Semakan pihak sekolah mendapati anak wanita itu tidak hilang, tetapi penyebaran video oleh ibu murid berkenaan menyebabkan guru terbabit dikecam warganet yang tidak tahu kisah sebenar.

Fadhlina berkata, pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah mengambil tindakan segera bagi membantu guru itu, dengan sokongan psikososial akan diberikan kepadanya.

Beliau menasihatkan guru sentiasa cakna dengan perilaku buli siber seperti terkandung dalam surat pekeliling.

“JIka situasi itu berlaku, buat aduan segera kepada pihak pentadbir sekolah, manakala PPD dan JPN diingatkan mengambil tindakan segera sekiranya perkara sebegini berlaku supaya guru dilindungi.”

Beliau meminta ibu bapa dan masyarakat menghormati profesion keguruan, manakala sebarang aduan boleh dikemukakan kepada sekolah atau platform aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam KPM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.