Infrastruktur, kos mungkin halang polis guna teknologi 5G, kata pakar

Infrastruktur, kos mungkin halang polis guna teknologi 5G, kata pakar

Geshina Ayu Mat Saat berkata ujian perintis diperlukan untuk mengukur masa tindak balas, kepraktisan dan kos menggunakan segmen khusus spektrum 5G.

edotco
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata langkah mesti diambil untuk mengurangkan potensi pelanggaran privasi yang timbul daripada penggunaan teknologi itu. (Gambar Edotco)
PETALING JAYA:
Akses kepada segmen khusus spektrum 5G akan meningkatkan kerja pencegahan jenayah pasukan polis, tetapi faktor seperti infrastruktur dan kos menghalang penggunaannya ketika ini, kata seorang pakar kriminologi.

Geshina Ayu Mat Saat dari Universiti Sains Malaysia, berkata polis akan mendapat manfaat daripada perkongsian maklumat dan risikan masa nyata yang dipertingkatkan. Bagaimanapun, cabaran infrastruktur di kawasan terpencil, zon kepadatan tinggi dan sempadan maritim mungkin menghalang penggunaan sepenuhnya teknologi itu.

Geshina Ayu Mat Saat
Geshina Ayu Mat Saat.

Beliau mengulas cadangan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil supaya polis diberikan segmen khusus spektrum 5G melalui penghirisan rangkaian untuk meningkatkan perkhidmatan dan pengendalian kecemasan.

Geshina turut membangkitkan kebimbangan mengenai potensi kos operasi rangkaian 5G, selain mencadangkan ujian perintis dijalankan untuk mengukur pelbagai aspek cadangan termasuk masa tindak balas, kepraktisan dan kos penggunaannya.

“Pertimbangan lebih mendalam diperlukan, dengan mengambil kira struktur dan keadaan semula jadi tempatan dan buatan manusia yang mungkin menjadikan kualiti teknologi semasa tidak begitu menjimatkan.

“Ini juga melibatkan mendapatkan pandangan daripada individu dan organisasi yang tidak bergabung dengan syarikat di sebalik teknologi sedemikian, yang mendapat manfaat secara langsung daripada penjualan, penyewaan dan penyelenggaraan produk,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menekankan risiko pelanggaran privasi disebabkan potensi penggunaan teknologi untuk pengawasan dan pengumpulan data tanpa kebenaran.

Chang Lih Kang.

“5G menyokong penggunaan aplikasi yang dipacu kecerdasan buatan, seperti pengecaman muka dan analitik ramalan, meningkatkan keupayaan penyiasatan dan peruntukan sumber.

“Bagaimanapun, garis panduan yang jelas untuk mengawal penggunaan teknologi pengawasan canggih perlu diwujudkan bagi memastikan ia mematuhi hak privasi dan kebebasan sivil,” katanya.

Chang meminta kerjasama antara polis, pakar teknologi, penasihat undang-undang dan wakil masyarakat untuk memastikan teknologi 5G digunakan secara bertanggungjawab.

“Agensi penguatkuasaan undang-undang harus membangunkan kurikulum yang merangkumi aspek teknikal alat 5G, pertimbangan etika dan rangka kerja undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.